Pendekatan ekonomi kita sangat tepat - Utusan Malaysia

Pendekatan ekonomi kita sangat tepat

ANTARA tindakan dan pendekatan ekonomi yang diambil oleh kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri Yaakob (tengah) adalah bagi mencari jalan agar inflasi dalam negara dan kesan negatifnya dapat dibendung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFLASI yang sedang berlaku bersifat global. Ia akibat dari satu segi oleh pakej rangsangan fiskal yang kuat untuk menyuntik permintaan agregat sewaktu berlaku kemelesetan agak dalam. Dari segi lain oleh gangguan bekalan barangan dan perkhidmatan akibat peperangan di Ukraine dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di China.

Negara-negara kuasa utama dunia seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan sebagainya telah mengambil tindakan agresif merangsang ekonomi masing-masing. Mereka sedang mengalami inflasi agak tinggi.

Tindakan mengawal kecairan dengan memperkenalkan dasar monetari menguncup akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi. Inilah yang kita saksikan sedang dan akan berlaku pada 2022 dan 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyedari ekonomi Malaysia sangat kuat berintegrasi dengan ekonomi global, kita juga terpaksa mencari jalan agar inflasi dalam negara dan kesan negatifnya dapat dibendung.

Dalam suasana sedemikian dan memandangkan instrumen paling sesuai ialah dasar monetari menguncup, kita menaikkan beberapa kali Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara berdikit-dikit.

Agar kemerosotan kesejahteraan isi rumah lebih terkawal, kerajaan menaikkan OPR untuk menstabilkan Indeks Harga Pengguna (IHP) selain memberikan bantuan sosial dan subsidi.

Peningkatan OPR menjadikan kos meminjam lebih terbeban bagi isi rumah yang sarat berhutang, namun ia berjaya mengawal kestabilan harga umum. Ia merupakan ubat yang pahit terpaksa ditelan untuk menstabilkan IHP.

Pemberian bantuan sosial dan subsidi telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang terpaksa menambah peruntukan, dijangka mencecah RM77 bilion pada 2022. Jumlah yang bukan sahaja lebih besar daripada diperuntukkan dalam belanjawan, malah tertinggi dalam sejarah negara ini dalam perbelanjaan bantuan sosial dan subsidi.

Peruntukan besar ini akan benar-benar mencabar kemampuan masa depan ekonomi negara bagi melakukan rasionalisasi subsidi bertujuan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing. Ia juga akan memberikan cabaran pada masa depan dalam mengimbangi akaun fiskal kerajaan yang sedang menghadapi defisit semakin melebar.

Hingga suku tahun kedua 2022, ekonomi Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan bertenaga. Namun, ia tidak akan terkecuali daripada kesan pertumbuhan lesu ekonomi global sepertimana diramalkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terutama pada tempoh berbaki tahun ini dan 2023. Kita harus bersedia dengan kemungkinan pembuangan pekerja dan pemotongan gaji yang pernah kita alami pada 2021.

Buat setakat ini, kita masih diselubungi ketidakpastian tentang bagaimana kelesuan ini akan berakhir, sama ada menjurus kepada kemelesetan sekali lagi atau tidak. Laporan tinjauan dan unjuran ekonomi Malaysia 2022, bagaimanapun menunjukkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2022 mudah dicapai.

Pertumbuhan suku tahun pertama dan kedua KDNK 2022 masing-masing dilaporkan pada lima peratus dan 8.9 peratus. Ramai penganalisis menjangkakan suku tahun ketiga akan mencatatkan prestasi lebih cemerlang lagi.

MALAP

Menarik untuk kita perhatikan, telahan ekonomi Malaysia 2022 yang cerah itu dibuat ketika ekonomi dunia dijangka berada dalam keadaan sungguh malap dan tidak menentu.

Dalam tempoh peralihan endemik ini, kadar pengangguran telah dapat dipulihkan. Pada Jun 2022, kadar pengangguran turun kepada 3.8 peratus (daripada 3.9 peratus berbanding Mei 2022), paras terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 637,700 pada Mei 2022.

Kita telah mencapai kadar pengangguran di bawah empat peratus, yakni kadar guna tenaga penuh sejak April 2022. Kadar pengangguran kita pernah mencapai paras 4.8 peratus dengan 776,200 orang pada Julai 2021.

Sebaik sahaja kita membuka semula kegiatan ekonomi dan sempadan negara, ekonomi Malaysia terus mengalami proses pemulihan yang cergas. Pertumbuhan KDNK separuh penggal pertama 2022 mencapai 6.9 peratus.

Dengan low base pada suku tahun ketiga 2021, pertumbuhan KDNK bagi suku tahun ketiga 2022 dijangka kekal cemerlang. Ini akan menjadikan sasaran pertumbuhan KDNK untuk 2022 mudah dicapai.

Prestasi cemerlang dalam pertumbuhan KDNK tentunya berpunca daripada peningkatan nilai tambah negara yang memberangsangkan.

Namun, cabaran sebenar pertumbuhan KDNK negara akan dirasakan bermula dari suku tahun keempat 2022 dan seterusnya apabila memasuki 2023, selari dengan telahan IMF dan Bank Dunia terhadap prospek pertumbuhan KDNK global. Dalam tempoh itu, kita sudah tidak mempunyai pengaruh low base lagi.

Itu adalah gambaran prestasi ekonomi negara yang ditunjukkan oleh pertumbuhan KDNK. Ini bermakna pemulihan ekonomi bukan diukur dengan kadar pertumbuhan KDNK sahaja.

Kita perlu juga melihat kepada paras KDNK sebenar yang telah dicapai. Begitu juga dengan nada sama, kita tidak melihat kepada kadar pengangguran sahaja tetapi aspek-aspek lain dalam pasaran buruh.

Kita yakin kadar pertumbuhan KDNK untuk 2022 akan lebih tinggi daripada disasarkan. Begitu juga kadar pengangguran dapat kita pertahankan pada paras lebih rendah daripada empat peratus dan seterusnya dapat mengehadkan bilangan penganggur.

Kesejahteraan isi rumah juga boleh diperbaiki. Bagi isi rumah yang tidak aktif, mereka memerlukan bantuan kebajikan sosial, manakala isi rumah yang aktif, yakni golongan pekerja, memerlukan dasar perburuhan yang mantap. Bagi golongan pengusaha, mereka memerlukan dasar perdagangan dan pelaburan yang dapat meningkatkan produktiviti.

Pendekatan dan tindakan yang diambil oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengharungi gelombang perniagaan global dan domestik kelihatan sangat tepat dalam memenuhi tuntutan mendesak ini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid ialah bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×