PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat isu butiran aset Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat isu itu, namun akan bekerjasama jika diperlukan kelak.
Beliau berkata, kebiasaannya mana-mana agensi dalam kerajaan akan bekerjasama bagi sebarang penyiasatan.
“Kalau satu agensi ambil tindakan, maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan.
“Kalau sudah banyak sangat masuk (siasat) nanti jadi ‘rojak’. Biarlah satu dahulu. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan itu.
Ini susulan satu laporan dibuat Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) kepada SPRM semalam berhubung pengisytiharan harta oleh Rafizi yang didakwa mengelirukan.
Sebelum ini, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta yang mana RM16 juta daripadanya diperoleh menerusi Invoke Sdn Bhd (Invoke).
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, setakat 10 November lalu, sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Menurutnya, pihaknya akan meneliti setiap kesalahan berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Maklum sahaja, kadang-kadang berlaku perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya dalam tempoh kempen pilihan raya ini. Ia bukan hanya merangkumi Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi juga segala perkara lain yang boleh kita ambil tindakan.
“Buat masa ini, kita buat siasatan dahulu baru kita buat tangkapan. Kita tidak tangkap orang kalau tidak melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN










