JIKA bukan kerana cinta dan sayang, barangkali tidak akan hadir empat jejaka yang menggelarkan diri mereka sebagai Gigi ke Kuala Lumpur, tempoh hari.
Malah, jika juga bukan kerana cinta dan sayang, barangkali Armand Maulana tidak perlu meneruskan persembahan Konsert Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur sekiranya dia memilih untuk mengutamakan kesihatannya yang kebetulan sedikit merosot dek batuk dan sakit tekak.
Ternyata, peminat dan penyokong tetap beraja di hati serta sanubari Armand, Dewa Budjana, Thomas Ramdhan dan Gusti Hendy menjadikan Gigi begitu ampuh tatkala melewati usia perjalanan seni muzik selama 28 tahun.
Berita berkaitan:
Menganggap Malaysia sudah bagaikan rumah kedua, Gigi tidak mahu menghampakan peminat yang telah lama menanti kunjungan mereka, sementelah kali terakhir mengadakan konsert adalah sekitar 2003.
Hampir 14 tahun lamanya rindu dendam itu tersemat rapi, akhirnya pada 5 November lalu, peminat berpeluang menatap kumpulan ini dalam persembahan eksklusif di Zepp Kuala Lumpur.
Seperti dijanjikan, Gigi mempamerkan aksi penuh bertenaga walaupun Armand dalam kerendahan hati, berkali-kali meminta maaf kerana masalah kesihatan yang menganggu pada sela waktu persembahan.
Namun, pada mata peminat, keadaan itu tidak sedikit pun menjejaskan kehangatan konsert. Ternyata, aura positif yang disalurkan setiap anggota Gigi membuatkan peminat terus melekat sehingga akhir persembahan.
Membuka tirai menerusi lagu Ooo…Ooo..Ooo, Armand tidak menunggu lama untuk memanaskan suasana menerusi lagu Terbang, K Y K, Damainya Cinta, Bisa Saja, My Facebook, Andai, Hinakah, Janji dan Nirwana.
‘Perjuangan’ Armand mengemudi konsert dengan jayanya menyaksikan dia berusaha sehabis baik ketika membawakan set lagu seterusnya dalam versi akustik.
Antara lagu yang dibawakan termasuk, Cinta Terakhir, Di Manakah, Kembalilah, Perihal, Bumi Meringis dan Melayang.
Juga terkenal dengan seleksi lagu religi atau kerohanian, Gigi tidak ketinggalan menyediakan set yang mengkhususkan pengisian lagu ketuhanan.
Dimulai dengan lagu Ada Anak, Lailatul Qadar dan Amnesia, Armand seterusnya menyajikan Akhirnya, Setia Bersama, Pintu Sorga dan Perdamaian.
Di lantai dewan, rata-rata peminat menyambut baik lagu yang dipersembahkan dengan bersama-sama ikut menyanyi.
Kehangatan malam diteruskan dengan lagu yang dinanti-nanti ramai iaitu Jomblo, 11 Januari, Ya… Ya…Ya sebelum ditamatkan dengan Nakal, bersesuaian judul konsert yang dibawakan Tanjak Adventure & Tour itu.
Walaupun kunjungan mereka dilihat sebentar cuma, sekurang-kurangnya ia dapat mengubat kerinduan peminat di sini.
Mungkin selaku vokalis, Armand berasakan persembahannya tempoh hari kurang memuaskan. Namun, buat pendengar dan peminat yang ‘kenal’ dirinya, dia sudah melakukan yang terbaik untuk memberikan kepuasan dengan daya yang ada.
Untuk persembahan nyanyian daripada seorang lelaki yang usianya sudah menjangkau 51 tahun, Armand, tidak mengecewakan peminat.
Pendek kata, 2,000 penonton yang hadir pada malam itu, pulang dengan senyuman kerana beban kerinduan terhadap Gigi akhirnya terlunas.











