Pengajaran spiritual Covid-19 - Utusan Malaysia

Pengajaran spiritual Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kerajaan mula-mula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, setiap rakyat reda dan akur kerana bimbang pandemik Covid-19 meragut nyawa dan menjejaskan kehidupan seharian. Semua orang duduk di rumah, perniagaan ditutup, kilang-kilang tidak beroperasi kecuali sektor perlu. Harapan pada ketika itu ialah pandemik segera hilang dan kehidupan kembali normal.

Hasilnya pada Jun tahun lalu, kes positif mencapai angka sifar. Tetapi panas tidak sampai ke petang. Pandemik itu muncul semula dengan gelombang yang lebih hebat. Angka harian bukan ratusan lagi, tetapi mencecah ribuan. Ia memaksa kerajaan melaksanakan PKP 2.0 diikuti pengisytiharan darurat dan seterus PKP 3.0 sekali dengan total lockdown.

Kesannya memang sudah dijangka. Ekonomi terbantut dan rakyat tertekan. Ramai hilang pekerjaan, tiada pendapatan, putus belanja harian dan segala ikhtiar menuju jalan buntu. Kita semua kini patah dan terluka. Dibelenggu kekeliruan dan ketidakpastian bagaimanakah masa depan bakal dilalui. Saban hari kini hidup kita dihimpit ketakutan. Ada yang merasakan dibayangi kematian terutama yang disahkan positif.

Hidup kini seperti sudah diprogramkan dengan satu set pematuhan Covid-19 – memakai pelitup muka, guna pembersih, jaga jarak fizikal, elak berkumpul ramai-ramai, tidak boleh beribadat di rumah ibadat dan memastikan diri mendapat vaksin seawal mungkin.

Itu belum mengambil kira kegelisahan kewangan dan ekonomi yang terus menghantui sebahagian besar kita. Menyebabkan kita sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengibarkan bendera putih kerana terdesak untuk hidup. Lebih malang lagi ada yang membawa kepada bunuh diri.

Realitinya dalam mengharungi pandemik ini kita tidak dibiarkan bersendirian. Kerajaan sendiri telah menghulurkan pelbagai pakej bantuan dengan nilai berbilion ringgit. Selain itu terdapat pertubuhan, persatuan, jiran-jiran dan rakan-rakan yang masih bernasib baik turut memberi sumbangan kepada mereka yang kesempitan hidup akibat pandemik ini.

Ketika kita berhadapan dengan kekecewaan, putus asa, sedih kerana orang yang kita sayang sudah pergi buat selama-lamanya disebabkan pandemik ini dan vaksin belum diterima, ia sebenarnya adalah ujian spiritual untuk kita semua.

Ia juga ujian kepada kerajaan dan pembuat dasar supaya bertindak bijak, cepat dan efektif agar rakyat tidak hilang harapan. Jangan cepat rasa puas hati dan selesa. Begitu juga dengan rakyat. Setiap apa yang ditetapkan perlu dipatuhi tanpa mengira pangkat atau darjat. Kita semua sedang diuji. Persoalan spiritual dan kewujudan pandemik ini akan terus menghantui kita walaupun selepas vaksin diterima.

Dalam menghadapi masalah ini kita perlu bersama-sama. Antara kerajaan, rakyat, menteri, orang biasa, per­tu­buhan bukan kerajaan, persatuan, jiran tetangga, rakan-rakan semuanya perlu bahu membahu. Dasar gu­bal, bantuan dihulurkan. Yang kesempitan dilegakan, tanpa mengira siapa atau dari mana. Jangan ada yang pertikai.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×