PETALING JAYA: Majoriti kerusi Parlimen di Selangor dijangka terus dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH), namun ada beberapa kerusi dilihat lebih terbuka untuk dimenangi parti-parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam 22 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Selangor, terdapat sekurang-kurangnya lapan kerusi terbuka iaitu Kuala Selangor, Gombak, Ampang, Sungai Buloh, Shah Alam, Sepang, Sungai Besar dan Hulu Langat hasil tinjauan di lapangan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Ini disebabkan kehadiran calon popular seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Kuala Selangor), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh), Isham Jalil (Shah Alam), Datuk Seri Rina Harun (Sepang), Datuk Seri Jamal Md. Yunos (Sungai Besar) dan Datuk Johan Abdul Aziz (BN) yang dilihat berpotensi menang di kawasan tersebut.
Malah, calon yang paling berpotensi menang di kawasan masing-masing adalah Tengku Zafrul dan Khairy kerana terkenal dengan peranan mereka sebagai menteri dan banyak terlibat dengan dasar Kerajaan Persekutuan.
Populariti calon-calon ini dijangka memberi kesan besar kepada pola pengundian dalam PRU kali ini terutama dalam mempengaruhi pengundi di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali menjangka calon-calon di kerusi terbuka ini tidak akan berdepan laluan yang mudah, sebaliknya akan menyaksikan persaingan yang sengit.
Ini kerana jelasnya, calon-calon tersebut berdepan dengan pelbagai isu nasional seperti isu ketidakstabilan politik dan ekonomi negara, malah majoriti kerusi di Selangor didiami oleh golongan berpendidikan dan cakna dengan politik semasa.
“Peluang parti-parti lain di Selangor agak meyakinkan sebelum ini, tetapi sekarang, ramai pengundi atas pagar yang ke arah PH disebabkan isu-isu nasional seperti projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS), isu lompat parti dan isu Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sebab itu, dijangka peluang masing-masing terbuka dan akan berlaku saingan sengit, tapi Tengku Zafrul dan Khairy mampu memberi tentangan di kerusi masing-masing. BN mungkin akan menang satu atau dua kerusi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tengku Zafrul berdepan tentangan empat penjuru di Kuala Selangor termasuk penyandang, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad manakala Khairy berdepan tujuh penjuru di Sungai Buloh termasuk calon PH, R. Ramanan.
Seorang lagi calon BN, Isham Jalil juga mempunyai peluang untuk memenangi kerusi Shah Alam setelah penyandangnya, Khalid Samad beralih ke Titiwangsa, namun berdepan cabaran untuk menarik majoriti pengundi yang sebelum ini mengundi PH.
Isham berdepan saingan empat penjuru termasuk calon PH, Azli Yusof dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin.
Dalam pada itu, Mazlan menyifatkan peluang Azmin dan Zuraida masih terbuka namun semakin tipis kerana majoriti pengundi Gombak dan Ampang masih memihak kepada PH.
“Azmin mempunyai stigma kerana beliau keluar daripada PH dahulu, manakala parti diwakili Zuraida iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih belum dikenali ramai, sukar untuk mereka memikat pengundi seperti dahulu,” katanya.
Azmin berdepan saingan lima penjuru termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari manakala Zuraida berdepan sembilan penjuru termasuk calon PH, Rodziah Ismail.
Selain itu, Rina juga dilihat mempunyai peluang cerah di Sepang selepas penyandang, Hanipa Maidin tidak mempertahan kerusi tersebut.
“Rina sebenarnya agak popular di Sepang tetapi beliau juga berdepan dengan isu nasional, ini memberi cabaran kepada beliau,” katanya.
Rina berdepan lapan penjuru termasuk calon PH, Aiman Athirah; calon BN, Anuar Basiran dan calon Pejuang, Datin Che Asmah Ibrahim. – UTUSAN










