PUTRAJAYA: Tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang tempoh berkempen 14 hari bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Utusan Malaysia bahawa setakat ini, pihaknya tidak ada perancangan menyediakan garis panduan seumpamanya bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan termasuk pada hari pengundian 19 November ini bagi pengendalian kes Covid-19.
Bagaimanapun, menurut jurucakap SPR, aktiviti berkempen masih termaktub kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada semua pihak terlibat terutama bagi calon-calon serta penyokong dalam tempoh berkempen yang ditetapkan bermula semalam sehingga 11.59 malam 18 November ini.
“SOP Covid-19 yang digunakan pada pilihan raya negeri sebelum ini dimansuhkan. Kempen pilihan raya dibenarkan tanpa sekatan tetapi pemakaian pelitup muka adalah digalakkan.
“Tiada khemah bergejala, saringan suhu dan sebagainya sewaktu Hari Pengundian nanti, tetapi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Aktiviti berkempen masih termaktub kepada Akta kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di sini semalam.
SOP Covid-19 perjalanan kempen pilihan raya mula diperkenalkan kali pertama pada PRK DUN Chini pada 4 Julai 2020 ketika tempoh wabak itu melanda negara dan beberapa PRK selepasnya termasuk empat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini pernah mencadangkan untuk menyediakan lorong dan bilik khas untuk individu positif Covid-19 ketika hari mengundi bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya.
Bagaimanapun, jurucakap SPR itu berkata, pihaknya tiada rancangan untuk memperkenalkan SOP baharu. Namun ia bergantung kepada keputusan dari semasa ke semasa termasuk arahan pihak KKM sendiri supaya ia mesti dikuatkuasakan sebelum ia dibawa ke peringkat tertinggi untuk pertimbangan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan Covid-19 tidak akan dijalankan semasa pengundian atau pemasangan khemah khas Covid-19.
Namun, beliau berkata, terpulang kepada pengundi dan individu untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, sebagai contoh mereka yang mempunyai komorbid digalakkan memakai pelitup muka jika berada di tempat sesak.
Bagi peraturan-peraturan lain sewaktu berkempen, SPR dalam kenyataan kelmarin memberitahu, pihaknya menubuhkan sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.
Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan.
Ia bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.
SPR pada masa sama berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan peraturan yang ditetapkan. – UTUSAN










