Terapi seni di sebalik tirai besi - Utusan Malaysia

Terapi seni di sebalik tirai besi

TERAPI seni membolehkan penerokaan masalah peribadi klien bagi tujuan rawatan dan pemulihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penghasilan karya seni boleh memberi ketenangan serta memperbaiki mood seseorang. Aktiviti seperti melukis, mewarna dan mengukir bukan sahaja mengurangkan tekanan dan kelakuan impulsif, malah turut meningkatkan daya tumpuan individu.

Melihat keberkesanan dan manfaatnya, tidak hairan apabila teknik itu diaplikasikan dalam kalangan banduan di penjara.

Selain menyelesaikan masalah emosi mereka di sebalik tirai besi, terapi seni turut mengembangkan kemahiran interpersonal, menambah keyakinan diri di samping membantu pengurusan tingkah laku dan stres banduan.

Pegawai psikologi Penjara Kajang, Shamshinar Ahmad Basir, 39, berkata, terapi seni membolehkannya meneroka masalah peribadi klien bagi tujuan rawatan dan pemulihan.

Katanya, pada masa sama, proses itu menggalakkan banduan bercerita dan meluahkan emosi mereka yang tersimpan sejak sekian lama.

“Ada klien yang sukar menerangkan emosi terpendam, tidak tahu untuk bercerita di samping tidak memahami diri, maka dengan adanya terapi seni mereka boleh meluahkan situasi, keadaan atau perasaan masing-masing.

“Ini kerana seni memberi harapan iaitu harapan untuk terus hidup, kuat, bangkit, melawan kesakitan dan menikmati kebahagiaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Menurut Shamshinar, setiap lukisan atau warna yang dihasilkan banduan kemudian akan dikupas menerusi sesi refleksi atau soal jawab.

Sesi itu katanya, bukan bertujuan untuk menghakimi hasil kreativiti banduan, sebaliknya, untuk mendorong klien menyatakan pandangan dan memberi penerangan mengenai karya seni masing-masing.

Malah, katanya, pelaksanaan teknik itu berjaya membantu salah seorang banduan berusia 21 tahun yang mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

“Pada peringkat permulaan, klien cenderung memilih warna hitam tetapi selepas sebulan, kita dapat lihat perkembangan positifnya, termasuk pertuturan yang kurang gagap di samping terbuka untuk bercerita tentang keluarga.

“Respon baik yang diberikan dalam setiap sesi turut membolehkannya berhenti daripada mengambil ubatan psikiatri,” katanya.

Shamshinar berkata, terapi seni merupakan antara teknik kaunseling yang digunakan pegawai psikologi dan kaunselor. Sesi itu boleh dilakukan sama ada di dalam bilik mahupun di kawasan padang di dalam penjara.

Katanya, antara simbol yang digunakan untuk melambangkan kesedihan ialah pelangi, manakala awan (bimbang) dan bulatan hati (gembira).

Kendali 6,000 kes banduan

Sepanjang tiga tahun berkhidmat di Penjara Kajang, Shamshinar sudah mengendalikan lebih 6,000 kes banduan bersama dua rakan sekerja lain, Abdul Haris Mohd. Darudin, 40, dan Muhammad Zulhusni Amirulmominin, 33.

Katanya, rata-rata banduan yang dirujuk bagi intervensi kaunseling kebanyakannya tiada keyakinan diri akibat kesalahan yang dilakukan, di samping trauma masa lalu.

Ujarnya, kerjaya sebagai pegawai psikologi bukan tugasan mudah apatah lagi perlu berurusan dengan klien yang merupakan banduan sama ada ringan, jenayah atau akhir.

“Mereka tidak terkecuali daripada depresi, tekanan mahupun keresahan. Sampai satu tahap ada yang cenderung mencederakan diri semata-mata kerana gagal mengawal emosi dan kemarahan sebaik sahaja kaki melangkah ke penjara.

“Peranan sebagai pegawai psikologi memang mencabar, apatah lagi saya merupakan wanita dan mengendalikan kes banduan lelaki,” katanya.

Bagaimanapun, Shamsinar lega kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika bertugas, malah kebanyakan banduan lelaki disifatkan tidak banyak kerenah dan mudah meluahkan perasaan mereka.

Katanya, setiap sesi kaunseling lazimnya dijalankan dalam masa kira-kira sejam bersama banduan yang dirujuk dengan diiringi penolong pegawai psikologi.

Henti sesi kerana halusinasi

Mengulas lanjut, Shamshinar berkata, ada beberapa sesi kaunseling yang terpaksa ditamatkan lebih awal gara-gara keadaan emosi klien yang tidak stabil.

Katanya, kes itu melibatkan seorang banduan India yang sentiasa berhalusinasi akibat masalah skizofrenia.

“Semasa sesi kaunseling diadakan, klien dikesan berkomunikasi dalam bahasa Tamil dengan seseorang yang didakwa ‘kawannya’.

“Disebabkan keadaannya yang tidak stabil, kita segera hentikan sesi itu. Selain di dalam bilik, saya cuba pendekatan lain dengan membawanya ke padang berdekatan dan dia teruja dapat memijak tanah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×