Bergelar ibu kepada dua anak yang kini masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun, Hannah Yeoh Tseow Suan tidak menafikan bukan mudah untuk wanita sepertinya bergelar Yang Berhormat (YB).
Apa yang dilalui wanita lain terutama ibu muda yang perlu bergelut dengan tuntutan kerjaya dan rumahtangga, beliau tidak menafikan melalui cabaran yang sama.
Hannah masih ingat ketika baru memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri wanita pertama pada tahun 2013, beliau sudah bergelar ibu kepada dua anak yang masih kecil.
“Saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga terutama anak-anak masih kecil dan sedang bermanja dengan saya sebagai ibu.
“Ketika menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Subang Jaya, saya masih boleh lari sekejap balik ke rumah untuk melihat keadaan anak-anak,” katanya bercerita kepada Seri.
Berkempen pada tahun 2013 disifatkan sebagai pengalaman paling tidak dapat dilupakan kerana tempoh itu dirasakan paling mencabar.
“Ketika itu anak kedua saya baru dilahirkan pada Februari. Kempen pula pada April di mana saya masih cuti bersalin. Waktu itu, saya perlu ‘lari’ balik ke rumah untuk menyusukan anak setiap dua jam,” katanya tersenyum mengimbau kenangan.
Akuinya diri bernasib baik kerana ada ibu yang membantu menjaga anak-anaknya tetapi selepas memenangi Pilihanraya Umum (PRU) 2013, beliau terpaksa akur untuk mendapatkan pembantu rumah bagi membantu menguruskan anak-anaknya.
Mengimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga memang bukan satu tugas mudah. Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa walaupun berpendidikan tinggi akibat kurangnya sistem sokongan untuk wanita bekerja.
Justeru, Hannah berkata sebagai majikan atau pekerja perlu mengambil berat semua perkara berkaitan wanita sekiranya ingin memastikan mereka terus bekerja dan memperkasakan golongan itu.
Pada masa ini ramai gadis di sekolah dan universiti di seluruh negara tetapi jumlah berkenaan tidak sama apabila merujuk kepada industri pekerjaan.
Pada tahun 2020, sasaran lebih ramai wanita bekerja tetapi jumlah itu tidak tercapai apabila tidak sampai separuh wanita berada dalam industri pekerjaan pada tahun ini.
“Sehingga kini, kita masih belum mencapai 50 peratus wanita bekerja yang bermakna daripada 100 wanita yang boleh bekerja di negara ini, tidak sampai 50 peratus pun bekerja. Ini disebabkan tiadanya struktur sokongan di rumah untuk membolehkan mereka bekerja.
“Jadi, sekiranya kita mahu memperkasakan wanita, kita perlu memastikan mereka kekal dalam bidang pekerjaan dengan menyediakan cuti bersalin mencukupi.
“Bagi mereka yang ada anak kecil, anak akan jatuh sakit sekurang-kurangnya enam kali setahun dan biasanya disebabkan demam selsema. Jadi, kalau ada dua anak kecil, sudah 12 kali setahun kerana biasanya kalau anak yang pertama sakit, yang kedua pun akan sakit juga,” katanya.
Katanya wanita bekerja bila mengambil cuti biasanya bukan untuk pergi bercuti tetapi menjaga anak yang tidak sihat di rumah tambahan pula kini dengan masalah Covid-19, lebih menyukarkan.
Justeru, katanya wanita perlu diberi waktu bekerja anjal termasuk bekerja dari rumah. Malah ramai dalam kalangan wanita mahu bekerja dalam waktu anjal terutama selepas era Covid. Ini adalah cabaran baharu yang perlu dihadapi sebagai majikan dan majikan perlu memberikan sistem sokongan yang baik untuk mengekalkan pekerja.
Nasib wanita bujang perlu dibela
Nasib wanita bujang dan yang menjaga ibubapa berusia antara kategori yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Kelompok ini merupakan cabaran baharu di mana ramai wanita yang tidak berkahwin hari ini akhirnya perlu menjaga ibubapa masing-masing.
“Wanita ini juga semakin berusia tetapi pada masa sama, menjaga ibubapa yang semakin tua. Oleh kerana mereka tidak berkahwin atau bujang, adik beradik mengharapkan mereka menjaga ibubapa.
“Peranan mereka besar tetapi pada masa sama, mereka tidak dapat menjaga diri mereka sendiri. Saya lihat polisi rumah awam seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk B40 tidak membenarkan wanita bujang memiliki rumah ini sedangkan sepatutnya mereka juga layak mendapat sokongan kerajaan,” katanya.
Kerajaan katanya perlu mengemaskini polisi sedia ada selaras dengan perubahan masa bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.
Beliau turut berharap lebih banyak NGO tampil bekerjasama dalam mencapai hasrat menubuhkan kementerian khas untuk kanak-kanak kerana mereka mewakili 30 peratus populasi di negara ini.
“Sekiranya 30 peratus populasi ini tidak dijaga, kita terpaksa mengeluarkan belanja tinggi untuk penjagaan di penjara dan semua jenis sistem sosial lain di kemudian hari akibat pengabaian ke atas sistem penjagaan kanak-kanak hari ini,” katanya.










