DALAM satu riwayat di zaman silam, terdapat tiga pemuda bersahabat berpelesiran lalu memasuki ke dalam sebuah gua. Di dalam gua itu ditemui mereka satu kotak besi bersaiz besar hampir keseluruhannya ditimbusi tanah.
Kotak besi itu dipenuhi emas dan permata. Tanpa melengahkan masa, ketiga-tiga pemuda berkenaan (dinamakan A, B dan C bagi memudahkan penceritaan) menggali kotak besi itu untuk mengaut barangan berharga di dalamnya.
Setelah berpenat lelah sepanjang hari mengangkat keluar peti besi berisi emas permata itu dari timbunan tanah yang keras, akhirnya usaha mereka berjaya. Ketiga-tiganya mula berasa lapar dan dahaga. Lalu, pemuda A dan B meminta pemuda C keluar membeli makanan di mana-mana gerai atau kedai makanan di luar gua.
Diringkaskan cerita, pemuda C sudah membeli makanan. Dalam perjalanan pulang ke gua, beliau berhenti dan membuka bungkusan makanan untuk dimasukkan racun. Niatnya apabila pemuda A dan B makan nanti, mereka akan mati. Maka, mudah baginya mengaut emas permata itu, semua menjadi miliknya.
Pemuda A dan B yang menunggu pemuda C membawa balik makanan pula sudah berpakat untuk membunuh pemuda C agar emas permata itu hanya menjadi milik mereka berdua. Sebaik sahaja pemuda C tiba ke dalam gua, kedua-dua sahabat yang menunggu terus menerkam dan membunuhnya.
Melihat pemuda C sudah terbunuh, pemuda A dan B mula membuka bungkusan makanan lalu memakan segala yang ada dalam bungkusan itu. Belum sempat menghabiskan makanan, kedua-dua pemuda A dan B rebah secara tiba-tiba disebabkan memakan makanan mengandungi racun.
Penghujung cerita, ketiga-tiga pemuda itu meninggal dunia tanpa seorang pun sempat menikmati harta karun yang ditemui. Moral ceritanya mudah. Hidup ini jangan ada sifat tamak haloba dan dengki khianat. Sepatutnya sentiasalah bersyukur dengan segala nikmat anugerah Tuhan. Perlu bersikap jujur dan saling hormat-menghormati. Orang tamak selalu rugi.
Teringat pepatah lama: “Macam anjing dengan bayang-bayang…”. Dibawakan secebis kisah silam ini untuk disesuaikan dengan konteks musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sedang dihadapi.
YANG BERHORMAT
Suatu peringatan supaya jangan ada atau jangan berulang cerita-cerita mengenai cah keting, yakni rela menjatuhkan kawan ekoran nama tidak tersenarai sebagai calon, atas sebab-sebab kurang senang (iri hati) dengan seseorang yang mendapat tempat dalam parti. Juga dikaitkan dengan sikap suka sabotaj, cenderung mengkhianati kawan atau parti sendiri.
Sepatutnya perlu ada nilai kesetiakawanan yang tinggi dalam persahabatan dan perjuangan. Saling sedia bekerjasama dan boleh dipercayai di antara satu sama lain. Tumpuan utama adalah untuk menegakkan perjuangan parti, bukan peribadi. Dan yang lebih penting ialah untuk memperoleh kuasa bagi mentadbir negara supaya maju makmur.
Penghujungnya rakyat dapat menikmati kesejahteraan bersama di samping memastikan survival bangsa dan negara terus terjamin. Malah, ada sesetengah pihak sanggup meruntuhkan parti sendiri hanya disebabkan sesuatu yang dihajati tidak dipenuhi.
Sering muncul kalangan mereka yang berpegangan: “Kalau aku tidak dapat, biar semua melepas.” Mereka tidak berfikir jauh. Yang difikirkan hanya demi kepentingan diri. Contohnya, kalangan mereka yang sudah sekian lama bergelar Yang Berhormat (YB), masih mahu menawar diri bertanding. Padahal, pihak pengurusan parti barangkali sudah mempertimbangkan dari pelbagai sudut kenapa orang yang sama tidak perlu diberi laluan lagi untuk bertanding.
Lain ceritanya, jika pihak pengurusan parti ‘sengaja’ bertindak menolak mereka yang masih disukai rakyat, semata-mata mahu memberi peluang kepada ahli keluarga atau kroni sendiri untuk bertanding.
Justeru, elok diambil pengajaran dari secebis cerita yang dipaparkan tadi agar tidak terjadi keadaan ‘satu kecundang, semua tenggelam.’ Tetapi pihak pengurusan biasanya menggunakan pendekatan konsensus dalam membuat keputusan. Banyak sudut dan aspek diambil kira.
Sebaik-baik kehidupan perlu bersikap sedia berlapang dada, bertindak adil untuk semua. Adil bermakna perlu sedar bahawa masih ada lagi orang lain yang layak atau lebih layak untuk berkhidmat kepada masyarakat. Jangan rasa hanya diri sendiri yang hebat dan diterima umum.
Jadi, pandai-pandailah membuat pertimbangan secara jujur. Akan timbul kesangsian umum jika seseorang yang sudah begitu lama berkhidmat tetapi masih beria-ia sangat mahu bertanding sehingga sanggup ‘merajuk’ seperti kanak-kanak sambil mengugut memusnahkan parti. Apa tujuan sebenar?
Tentukan sebarang perhitungan dan pertimbangan berasaskan keperluan sebenar. Biar bersifat objektif atau menjurus kepada matlamat yang diharapkan. Selagi berlegar dengan agenda kepentingan peribadi, keluarga dan puak, perjuangan sebenar menjadi sia-sia.
Air ada pasang surutnya. Hidup ada masa kemuncak dan penamatnya. Sebaik perkiraan, datang bila dijemput, pulang tanpa disuruh. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











