MENGHASILKAN kostum adiwira tidak semudah yang disangka, lebih-lebih lagi jika bersaiz gergasi. Ia memerlukan ketelitian, keseimbangan dan kemahiran tinggi dalam pelbagai aspek.
Hanya pencipta atau artis yang tekun dan sabar berupaya menghasilkan kostum yang hampir sama dengan watak adiwira yang dipaparkan di layar perak.
Jika pencipta kostum lain lebih tertumpu kepada adiwira seperti Spiderman, Superman atau Ironman, Ahmad Hamizan Ripin, 28, pula memilih merealisasikan watak filem Transformers ke dunia nyata.
Watak-watak seperti Optimus Prime, Megatron dan Bumblebee dikaji seteliti mungkin sebelum membina mereka menjadi sebuah robot sempurna bersaiz gergasi.
Pengasas CRS Cosplay yang beroperasi di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, sebelum membina kostum, dia terlebih dahulu menonton filem dan membeli patung figura adiwira tersebut sebagai sumber rujukan.
Katanya, kerana minat yang mendalam dalam bidang itu, dia banyak menghabiskan masa menonton YouTube demi mempelajari teknik pembikinan kostum daripada pereka profesional di Eropah dan Indonesia.
“Dua tahun lebih belajar secara kendiri, saya kemudiannya cuba-cuba melakar dan melukis watak adiwira tersebut. Seterusnya barulah saya menghasilkan komponen badan adiwira yang boleh dipakai dan digerakkan.
“Alatan yang saya gunakan untuk memotong hanya gunting, pisau dan gam bagi mencantum setiap bahagian. Kostum rekaan saya adalah 100 peratus buatan tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
RUMAH JADI BENGKEL
Ahmad Hamizan menjadikan laman rumah sebagai bengkel untuk memotong bahan asas kostum manakala ruang tamu rumah pula dijadikan studio bagi kerja-kerja akhir seperti mewarna dan mengecat setiap komponen.
Pemuda ini bercadang membuka sebuah galeri bagi mempamerkan kostum dihasilkan di samping membina sebuah bengkel yang sempurna dalam masa terdekat, di samping mencipta watak adiwira robot sendiri.
“Mengapa tidak kita cipta adiwira tempatan dengan nama Melayu dan bercirikan imej Malaysia. Ini perlu dicuba kerana kebanyakan kostum adiwira diceduk 100 peratus dari filem barat.
“Saya galakkan anak-anak muda menceburi bidang ini sebagai satu sumber pendapatan tetapi mereka perlu mempelajari kaedah dan teknik pembikinan terlebih dahulu selain perlu mempunyai sedikit modal,” katanya.

Menerusi CRS Cosplay diusahakan, Ahmad Hamizan turut membuka peluang pekerjaan kepada pemuda setempat dengan cara mengupah mereka memakai kostum dalam majlis-majlis sebagaimana tempahan pelanggan.
Ahmad Hamizan berkata, keseluruhan kostum yang dihasilkannya diperbuat daripada evafoam, sejenis span getah yang ringan, senang dibentuk dan selesa dipakai walaupun kelihatan sama seperti kepingan logam selepas dicat.
“Pemilihan cat yang sesuai dan berkualiti serta teknik semburan begitu memainkan peranan menjadikan ia kelihatan seakan-akan logam sebenar.
“Selain untuk koleksi peribadi, saya juga menerima tempahan orang ramai yang berminat untuk membeli kostum robot dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Tempoh siap bagi satu-satu kostum bergantung kepada jenis, saiz dan ketinggiannya. Sebagai contoh kostum Transfomers mengambil masa sebulan untuk siap,” katanya sambil memberitahu harga kostum terbabit antara RM1,000 hingga RM5,000.
Bagi perkhidmatan sewaan khusus untuk majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir pula, caj dikenakan bagi kostum robot bersaiz gergasi adalah RM150 sejam.
“Jika saiz standard manusia seperti Ironman, caj dikenakan hanya RM80 sejam. Bagi lokasi yang jauh, kita kenakan caj perjalanan.
“Kadang-kala kami muncul di kawasan awam seperti pantai peranginan dan jika ada peminat mahu bergambar, kita sediakan tabung dengan bayaran seikhlas hati.
“Saya tak ambil untung. Wang itu untuk belanja si pemakai kostum,” katanya.
Ahmad Hamizan berkata, tempahan untuk menyeri majlis atau gimik sesuatu penganjuran amat menggalakkan termasuk menjadi gimik kepada pembukaan kedai makan dan restoran di seluruh Kelantan.
Tambahnya, sepanjang Februari hingga Oktober tahun ini, dia berjaya menyiapkan sembilan kostum robot bersaiz gergasi dan normal.
“Sekarang saya sedang siapkan enam kostum Bumblebee ditempah pelanggan dari dalam dan luar negeri,” katanya.









