Rumah: Wujudkan konsep pembangunan koperasi

Rumah: Wujudkan konsep pembangunan koperasi

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) melihat replika perumahan rakyat selepas Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untuk menjayakan aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ kerajaan dicadang menggunakan konsep pembangunan koperasi yang digunapakai oleh negara-negara maju.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, aspirasi tersebut boleh terlaksana sekiranya kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) benar-benar komited membantu rakyat mendapatkan rumah.

Menurut beliau, konsep pembangunan koperasi sering diguna oleh negara maju semasa mereka sedang membangun dengan membina sebanyak mungkin rumah untuk memudahkan rakyat mereka mendapatkan rumah.

“Dalam pembangunan koperasi misalnya kita tubuhkan satu koperasi dan mencari 1,000 individu yang memerlukan rumah untuk menjadi ahli lalu beli 100 ekar tanah, kemudiannya pecahkan jadi 1,000 untuk membina rumah.

“Sekiranya dibuat begitu kita boleh bina satu rumah dengan kos kurang daripada RM80,000 itu baru betul-betul mampu milik dan kemudian boleh menggunakan pembiayaan di peringkat koperasi, jadi ahli tak perlu meminjam daripada luar. Hanya bayar bulanan dengan nilai sewa selalu dibayar iaitu RM300 ke RM400 dalam masa 15 tahun rumah itu menjadi miliknya sepenuhnya.

“Ia boleh dilakukan bagaimanapun, kerajaan mungkin akan takut industri pembinaan akan runtuh sebab tiada permintaan rumah yang mereka buat tetapi inilah cara untuk membantu rakyat sekiranya benar-benar komited,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin memberi jaminan setiap keluarga di seluruh negara dapat memiliki rumah sendiri sekiranya Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan beliau kekal selepas PRU15.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Bera itu, ia selaras dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2023.

Katanya, Skim Perumahan itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, di dalam perspektif negara membangun memang mempunyai isi rumah yang bermatlamat untuk memiliki rumah sendiri tetapi di negara maju seperti Jerman ia sebaliknya.

“Lebih 80 peratus daripada penduduknya tiada rumah dan mereka menyewa daripada majlis perbandaran. Majlis yang akan memiliki rumah lalu disewakan kepada setiap isi rumah pada harga sewaan munasabah.

“Jadi penduduk di sana fikir lebih baik tiada rumah daripada ada kerana harganya mahal, kos penyelenggaran juga tinggi, kena bayar cukai dan pelbagai lagi. Kita juga mungkin perlu mengetengah konsep sebegini di Malaysia sebab memiliki rumah bukan aset tetapi tanggungan,” katanya.

Tambahnya, tawaran yang paling baik untuk rakyat adalah apabila kerajaan mengemukakan pelan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan juga mengurangkan kos sara hidup.

“Tawaran paling paling penting adalah kerajaan perlu memastikan pendapatan setiap isi rumah meningkat kerana hari ini lebih 50 peratus kumpulan makan gaji mendapat gaji RM2,000 atau ke bawah.

“Jadi gaji itu tidak mencukupi untuk menyara hidup kerana kos minimum seorang bujang pun RM2,500 dan kadar kemiskinan pun berada di paras RM2,800. Jadi maknanya mengikut garis kemiskinan itu lebih 50 peratus kumpulan bekerja di Malaysia dalam golongan miskin.

“Ini satu perkara yang sangat serius kerana selagi isi rumah kita miskin, selagi itu mereka tidak akan merasai nikmat pembangunan negara kita yang dianggap sebagai negara hampir maju. Kita perlu tingkatkan pendapatan dan kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menggesa bakal kerajaan nanti mengumpulkan semua rumah ‘kosong’ terutama di bawah syarikat kerajaan dan menjualnya terlebih dahulu.

“Apabila rumah sedia ada yang masih kosong sudah terjual, baru kita boleh rancang rumah baharu. Rumah-rumah yang sedang dibina, kosong dan sebagainya itu kita kumpul dan buka peluang kepada rakyat dengan menawarkan diskaun.

“Untuk projek baharu, saya cadangkan ia dibina dalam bentuk apartmen dengan sekurang-kurangnya mempunyai tiga bilik dan dua bilik air. Perkara ini insya-Allah boleh dilakukan tetapi ia akan memakan masa,” jelasnya.

Abu Sofian yang juga Pensyarah Kanan City University Malaysia itu berpendapat, kerajaan perlu membuka peluang seluas-luasnya untuk menggalakkan masyarakat membeli rumah tanpa perasaan bimbang.

“Kita perlu ada database yang mana boleh lihat pembeli daripada keluarga mana, misalnya keluarga itu memang tidak pernah langsung membeli rumah, jadi sekarang ini kita bagi dia peluang untuk membeli.

“Sekiranya dia ada pendapatan tetap, maka kita permudahkan. Maknanya, benarkan pembayaran ansuran secara yang mudah, sekiranya pembeli adalah orang bekerja sendiri seperti peniaga pasar tani dan sebagainya pun kita perlu permudahkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×