Selepas Thailand, atlet India pula ke Kampung Kesang Tua

Selepas Thailand, atlet India pula ke Kampung Kesang Tua

ATLET angkat berat dari India bergambar kenangan di Dataran Hidilyn Diaz di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Populariti garaj kereta tempat latihan Hidilyn Diaz sebelum meraih emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 terus ‘mencanak’ dan terbaru, atlet angkat berat dari India pula mahu membuat persiapan Sukan Olimpik Paris 2024 di Kampung Kesang Tua, dekat sini mulai tahun depan.

Sabtu lalu, seramai 15 atlet, empat jurulatih dan seorang doktor dari India berkunjung melihat garaj berkenaan dengan meluangkan masa hampir separuh hari meninjau tempat tersebut.

Mereka turut melihat fasiliti di garaj berkenaan selain bilik tidur dan jadual harian Diaz sepanjang lapan bulan menjalani latihan sebelum bertanding di Tokyo.

Jurulatih angkat berat India, SH. Aveenash Pandoo berkata, walaupun kemudahan sangat terhad, namun ia bukan halangan untuk seseorang itu mencipta nama seperti dilakukan Diaz.

“Saya tidak nafikan garaj ini tidak menyediakan peralatan dan kemudahan canggih, namun kekurangan ini bukan halangan.

“Atlet yang menjalani latihan di sini mesti mempunyai tekad, pengorbanan dan minda yang positif jika ingin mengukir kejayaan seperti apa yang dilakukan oleh Diaz.

“Saya benar-benar teruja dan akan menghantar atlet yang mempunyai prospek pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 untuk mula menjalani latihan di garaj kereta ini mulai tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, atlet angkat berat Thailand akan menjadikan garaj berkenaan sebagai lokasi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatihnya, Chalermpol Muaymun berkata, beliau teruja akan kejayaan atlet dari Filipina itu dengan hanya berlatih di Kampung Kesang Tua, tetapi mampu mengutip emas dalam acara angkat berat wanita kategori 55 kilogram (kg).

Dalam pada itu, tambah SH. Aveenash, India mempunyai antara tiga hingga empat atlet berprospek meraih pingat Olimpik dan salah seorangnya adalah atlet wanita, Balo Yam.

Menurutnya, jadual harian Diaz termasuk sesi latihan, menu makanan, aktiviti dan pergaulan akan menjadi panduan untuk atletnya apabila mula menjalani latihan.

“Sepatutnya kami menjalani latihan di Kampung Kesang Tua bermula 20 Oktober lalu tetapi disebabkan rumah milik Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah terlalu sempit, kita cuma berlatih di Kuala Lumpur.

“Kami kini menjalani latihan di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi dan akan berlepas pulang ke India 2 November ini,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×