Tiada protokol khusus pantau pelabelan telur ayam

Tiada protokol khusus pantau pelabelan telur ayam

Telur yang sudah rosak biasanya tercemar dengan pelbagai jenis bakteria khususnya bakteria salmonella. GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan segelintir pihak yang sewenang-wenangnya mele­tak­kan label premium pada telur ayam yang dijual di pasaran dikatakan berleluasa sejak sekian lama.

Sumber industri memberitahu Mingguan Malaysia, tindakan tidak bermoral itu dilakukan sejak dahulu ekoran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) dan Jabatan Ve­terinar (JPV) tiada sebarang prosedur khusus bagi memantau aktiviti pelabelan sebegini, dalam menentukan jenis gred telur itu premium atau tidak.

Kata sumber, tindakan melabelkan telur sesuka hati semakin menjadi-jadi sekarang ini lantaran kekurangan bekalan sumber protein itu yang kritikal seluruh negara, mengakibatkan kerajaan sukar bertindak kerana itu akan semakin menjejaskan stok telur di pasaran.

Malah dedahnya, akibat tiada agensi yang mempu­nyai protokol khusus memantu penggredan telur di pasaran, maka segelintir pembekal dan pemborong sekarang ini menjadi semakin berani melabelkan telur gred A, B dan C kepada premium.

“Sekarang ini, siapa yang mengesahkan telur itu premium atau tidak? Saya sudah semak di bawah Akta Makanan, ada dalam sudut pelabelan. Itu saja akta berkaitan perkara ini, yang berkait dengan isu label premium atau tak premium ini.

“Cuma isunya, saya difahamkan di pihak agensi se­perti MAFI dan Veterinar, tiada satu protokol atau prosedur untuk mengesahkan telur itu premium atau tidak. Jadi sebelum ini pun, sebenarnya tiada yang boleh mengesahkan satu-satu jenis telur itu premium atau tidak, memang tiada yang mengesahkannya,” katanya di sini semalam.

Sumber berkata, isu menjadi lebih rumit kerana segelintir pembekal dan pemborong telur juga, sewenang-wenangnya mendakwa telur yang dipasarkan pihak mereka kaya dengan pelbagai mineral dan vitamin seperti omega, sekali gus menjadi alasan harganya dijual le­bih tinggi.

Selain mengaut keuntungan berganda, tindakan itu juga disyaki bertujuan mengelakkan pembekal dan pemborong telur terikat dengan skim kawalan harga kerajaan.

“Telur yang didakwa kaya omega di pasaran pun, tiada pihak berautoriti sebenarnya yang mengesahkannya. Jadi, ini yang saya minta Mingguan Malaysia tekankan, sekuat-kuatnya kalau boleh.

“Sebab, itulah manipulasi yang berlaku sebenarnya di pasaran sekarang. Ini di peringkat pemborong. Kenapa pemborong buat macam itu? Sebab mereka mahu lari daripada kawalan harga.

“Bukankah kerajaan sudah tetapkan kawalan harga telur dan ayam? Jadi, mereka mahu lari daripada situ. Ini berlaku sejak dahulu lagi, sejak wujudnya istilah telur premium. Ini ke­rana, selama-lama ini memang tiada kawalan oleh mana-mana agensi kerajaan,” kata sumber.

Justeru, sumber meminta perkara ini disiasat segera oleh kementerian bertanggungja­wab terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi ­mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×