Faizah sukses selepas keluar dari perkahwinan toksik - Utusan Malaysia

Faizah sukses selepas keluar dari perkahwinan toksik

Akuinya, sukar menjadi seorang wanita berfikiran seumpamanya, terutama apabila suami disayangi curang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap pasangan suami isteri mengidamkan sebuah perkahwinan yang hangat, penuh kasih sayang dan berkekalan . Namun, realitinya tidak ada yang sempurna di dunia ini dan sering kali diuji.

Harapan dan kenyataan sering tidak seiring. Kerap terjadi lain diharap, lain pula yang dapat, membuatkan pasangan cepat menyerah.

Pertengkaran demi pertengkaran tercetus sehingga kemanisan di awal perkahwinan semakin hilang dan sebahagian daripada pasangan suami isteri akhirnya memilih untuk berpisah agar lebih tenang dan bebas dari beban yang terasa berat.

Minggu ini saya kongsikan bagaimana wanita yang dianggap ‘lemah’ kembali mencari kebahagiaan diri setelah berdepan dengan kegagalan rumah tangga.

Faizah (bukan nama sebenar) yang saya temui baru-baru ini menceritakan, 11 tahun tanpa nafkah dan dicurangi pasangan, akhirnya dia mengambil keputusan memfailkan perceraian supaya dapat keluar daripada perkahwinan ‘toksik’.

Cerita Faizah, dia tidak pernah melupakan zaman kesukaran bersama bekas suaminya, Ramli (bukan nama sebenar), lantaran itulah yang menjadikan siapa dirinya sekarang.

Hari ini Faizah merupakan salah seorang usahawan tempatan berjaya di negara ini.

Mengimbas kembali, pada asalnya, dia menceburi diri dalam perniagaan kerana desakan hidup.

Dia tiada pilihan selain daripada terpaksa berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan harian lantaran suami yang diharap menjadi pelindung culas melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak.

Ibu kepada tiga anak itu juga bukan sahaja diuji dengan suami yang tidak bertanggungjawab bahkan curang di belakangnya.

Kemunculan orang ketiga dalam hidup mereka juga adalah penamat kepada rumah tangga yang dibina. Pasangan ini berpisah secara sah pada tahun 2010.

Kini selepas hampir sedekad berlalu, Faizah bahagia dengan kehidupan barunya.

Bagi Faizah segala apa yang berlaku ada hikmah dan menjadi pengajaran berharga untuknya.

Dia tidak pernah sesal kerana sekurang-kurangnya dia belajar sesuatu daripada apa yang berlaku.

Faizah mengakui, sejak berkahwin dengan Ramli, dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi. Tanggapannya, apabila seseorang itu bercinta atau berkahwin, perhubungan terjalin pastinya indah sahaja.

Dia membayangkan bagaimanan pasangan itu saling mengambil berat, menyayangi antara satu sama lain dan banyak lagi. Tetapi apabila berkahwin dengan suami, sikapnya jauh berbeza malah dia sendiri terkejut.

Berkongsi cerita pahit manis sepanjang menjalankan perniagaan, Faizah meraih sokongan keluarga. Pelbagai jenis perniagaan diusahakan, daripada bisnes kedai runcit, hinggalah produk makanan dan akhirnya kosmetik yang membawa perubahan kepada perniagaannya dari tahap biasa kepada luar biasa.

Faizah memutuskan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 2015 selepas menyedari hidup perlu diteruskan dan sekali gagal, tidak semestinya akan gagal seumur hidup.

Faizah mengakui apabila dalam kekecewaan, dia hanya melihat dunia itu sempit sahaja, tetapi sebenarnya Allah telah membukakan pintu lain iaitu Allah telah memberinya lelaki yang lebih baik sebagai ganti.

Awalnya, semua terlalu sukar, tetapi Faizah perlu kuat demi anak-anaknya.

Cerita Faizah, untuk bangkit selepas bercerai mengambil masa lama, tetapi dia perlu belajar menjadi orang yang berfikiran positif.

Akuinya, memang sukar menjadi seorang wanita berfikiran seumpamanya, terutama apabila suami disayangi curang.

Ternyata Faizah tidak sendirian mendepani masalah dihadapi kerana ahli keluarga terutama kedua ibu bapanya serta kawan-kawannya sentiasa ada memberi sokongan.

Pun begitu Faizah sentiasa ingat, bahawa kebahagiaan itu terletak ditangannya sendiri dan tidak boleh terlalu bergantung pada orang lain.

Selain itu, Faizah melihat perceraian itu dari sudut positif dan mungkin itulah masa sesuai untuk dia kembali mencapai impian yang sebelum ini belum terlaksana.

Paling penting, Faizah ketika itu mahu mencari makna hidup selepas melalui fasa-fasa memeritkan semasa di alam perkahwinan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Faizah sempat menitip pesan, sebagai hamba Allah SWT, setiap manusia perlu bersyukur dan bersangka baik dengan Allah.

Ini kerana perasaan syukur mampu mengubah perkara negatif ke arah sesuatu yang lebih positif dan baik.

Akui Faizah, untuk sampai ke tahap hari ini ini dia sentiasa fikirkan dan cuba memahami bahawa rezeki itu luas dan mungkin belum tiba masanya untuk dia memperoleh apa yang dihajati.

Ia perlukan usaha tambahan dan waktu berlainan untuk meneruskan usaha sebelum menikmati apa yang ada hari ini.

Katanya, apabila berfikir, bercakap, mendengar dan bersangka baik, insya Allah takdir seseorang itu akan menjadi manusia yang lebih baik.

“Dengan mensyukuri apa yang kita ada, ia akan mengurangkan tekanan, rasa sedih dan marah,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Kisah Faizah bagaimana dia menangani dan bangun semula untuk berjaya wajar dijadikan pengajaran.

Mungkin ada juga dalam kalangan kita yang berasa kecewa dengan takdir atau ketentuan yang sedang dihadapi, namun ketahuilah Allah SWT sedang menguji dan pastinya perancanganNya adalah yang terbaik.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semua itu), sedang kami tidak mengetahuinya (al-Baqarah:216).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×