Isu ayam: Henti tembak ke langit

Isu ayam: Henti tembak ke langit

Kerajaan diminta campur tangan, bagi elak monopoli kartel untuk tangani isu ayam daging dan ayam telur,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH berapa bilion duit kerajaan disalurkan dalam bentuk subsidi kepada sektor ayam dan telur? Adakah itu membantu industri dan pengguna? Jika jujur pada diri sendiri serta rakyat, kita pasti mengakui jawapannya, tidak.

Maka, apakah ertinya apabila tindakan menyalurkan subsidi secara berterusan jika masalah ini tetap tidak selesai? Sudah tentu ibarat menembak ke langit terbuka. Tembak dan tembak, namun tetap gagal mengenai sasaran. Beri dan beri subsidi, namun masalah ayam dan telur tetap tenggelam timbul.

Kita semua maklum, industri ayam dan telur ini sudah matang dan mampu berdiri sendiri. Ini bermaksud pemain-pemain industri berskala gergasi ini sudah tidak memerlukan bantuan kerajaan. Sebaliknya, kerajaan yang memerlukan mereka sebab gergasi-gergasi ini berkuasa mengawal sentimen rakyat kepada kerajaan. Mereka tahu, jika bekalan ayam atau telur kurang di pasaran, maka harganya akan meningkat. Mereka juga tahu, jika harga ayam dan telur meningkat, ini akan menaikkan amarah rakyat dan itu resipi yang boleh menjejaskan pentadbiran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, tidak keterlaluan kalau disamakan jerung atau burung hering dalam industri ayam dan telur ini, sama seperti bank-bank utama di Wall Street terutama Lehman Brothers di New York sewaktu krisis ekonomi dunia pada 2008. Sewaktu krisis itu berlangsung, beberapa bank judeo-kapitalis di Amerika Syarikat (AS) beralasan, jika kerajaan tidak bail out (ikat jamin), maka mereka akan mengheret AS ke lembah kehancuran kewangan. Dari situlah timbul istilah ‘too big to fail’, iaitu mereka ini terlalu besar dan tidak boleh tumbang, sebab kalau mereka tumbang, AS akan ikut sama.

Kesudahannya, Kongres meluluskan Akta Penstabilan Ekonomi Kecemasan (EESA) pada Oktober 2008. Ini termasuk Program Bantuan Aset Bermasalah (TARP) bernilai AS$700 bilion.

Dalam kes di Malaysia, tidakkah ini hampir serupa? Jika di AS, Kongres bail out bank, manakala di negara ini, kerajaan menyalurkan subsidi demi subsidi kepada industri ayam. Jadi, adakah kita mahu industri ayam dan telur mempunyai kuasa hampir sama dengan bank dan institusi kewangan di Wall Street yang berkuasa menentukan hala tuju negara?

Sekarang, mari renungkan apa sebenarnya senario dalam industri tersebut. Semua pihak maklum, sektor ayam dan telur dipengaruhi lima faktor utama. Pertama, harga bahan mentah untuk menghasilkan makanan ternakan itu seperti jagung bijirin dan soya.

Kedua, kos menghasilkan anak ayam (DOC). Ketiga, kos logistik dan keempat, penternak juga perlu menanggung kos pekerja, kos utiliti dan terakhir, kos ubat-ubatan.Daripada lima faktor yang menentukan kos operasi, 70 peratus meliputi makanan ayam. Timbul persoalan, adakah kos makanan ayam tidak boleh dikawal?

MONOPOLI
Pemain gergasi sering memberi alasan kepada penternak kontrak di bawah mereka bahawa kos makanan ayam tidak boleh dikawal. Alasan mereka, segala ramuan menghasilkan makanan diimport terutama jagung bijirin dan soya.

Utusan Malaysia difahamkan, dalam konteks makanan ayam, ada agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap industri asyik memberitahu penternak kontrak bahawa sektor makanan ayam tidak boleh diganggu kerajaan. Kononnya perniagaan dan kerajaan tidak wajar mencampuri urusan industri ayam dan telur.

Baik, mari kita renungkan apa yang akan berlaku jika sektor makanan ayam ini dijadikan milik negara, atau sekurang-kurangnya kerajaan terlibat secara langsung menghasilkan makanan ternakan itu?

Pertama, ia akan membersihkan industri daripada percaturan dan monopoli. Kedua, campur tangan kerajaan pasti akan menghasilkan pengeluaran yang lebih. Apabila berlaku lebihan dalam pengeluaran makanan ayam, maka harganya akan menurun. Jika kerajaan dan industri swasta dapat mengekalkan penghasilan makanan secara konsisten, justeru harganya akan kekal rendah dan stabil.

Mungkin akan ada pihak membidas, dari sumber manakah kerajaan mahu cari wang membangunkan sendiri sektor penghasilan makanan ayam?

Pertama, kerajaan boleh menyelaraskan semula saluran subsidi, dan rizabkan sedikit jumlah itu untuk dikumpul bagi mendapatkan modal permulaan. Daripada berterusan menyuntik subsidi, lebih baik gunakan wang itu untuk mewujudkan industri makanan ternakan sendiri.
Kedua, jika kerajaan boleh melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka pasti mempunyai ‘empat M’ (man, money, mechanisme dan method). Jika tidak sekali pun, mereka ada pengalaman sebagai sektor swasta yang pernah membangunkan perniagaan.

Ketiga, kerajaan boleh menggunakan model-model membangunkan koperasi untuk membentuk satu konsortium dan fokuskan kepada penghasilan makanan. Keempat, kerajaan boleh menggesa pakar dan saintis untuk segera mencari alternatif kepada ramuan import. Sebelum meletakkan tanggungjawab ini kepada sebuah lembaga khas, mungkin kerajaan boleh wujudkan satu jawatankuasa pasukan petugas yang fokus kepada perkara ini, bersifat rentas kementerian dan agensi.

Semua pihak bersetuju bahawa kita tidak harus terlalu bergantung kepada import kerana sifat sebegitu nescaya akan memusnahkan negara dalam jangka masa sederhana dan panjang. Maka, di sinilah semangat patriotisme serta cintakan negara perlu disemai. Jika kakitangan kerajaan yang ada kuasa untuk melaksanakan polisi, benar-benar ikhlas bertugas demi tanah air, maka mereka harus mempunyai perancangan terperinci untuk mengurangkan kebergantungan kepada import. Jadikan Malaysia negara autarki (berdikari dari segi sumber) dalam sektor makanan.

Kita banyak sumber, baik dari segi tanah, air, lautan mahupun sumber manusia bijak pandai dalam kalangan pemikir dan pelaksana. Himpunkan mereka dalam kadar segera, dan perah kudrat untuk menghasilkan rangka tindakan keselamatan makanan khususnya untuk ternakan. Ini sangat penting demi memastikan kita boleh mendepani cabaran-cabaran mendatang yang pasti lebih parah jika kita tidak bersedia.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×