PILIHAN RAYA Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi adalah medan untuk rakyat memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Wakil rakyat yang merupakan pemimpin dari parti politik boleh dianggap sebagai satu-satunya wakil berdaftar di sesuatu kawasan yang terlibat pilihan raya untuk membawa suara rakyat.
Namun apa yang kita lihat sejak dari dahulu hingga kini, wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) dijulang bak superstar atau artis sejak hari pertama kempen hingga setelah memenangi pilihan raya. Rakyat sepatutnya mengambil peluang menzahirkan rasa hati mereka kepada calon pilihan raya, bagi memastikan bukan pengundi sahaja mendengar ceramah politik, pemimpin perlu mengambil input untuk dilaksana selepas menang.
Pernah saya mendengar keluhan seorang bekas YB yang begitu tinggi diangkat bak superstar semasa kempen pilihan raya bahawa dirinya ‘pening’ dengan orang ramai yang sering meminta bantuan kewangan seolah-olah dia mesin pengeluaran wang automatik (ATM) 24 jam. Saya katakan padanya, bukankah YB yang minta menjadi calon wakil rakyat di Parlimen, bukan ada sesiapa yang memaksa?
Rakyat juga dalam masa yang sama harus faham, YB walaupun ada peruntukan, kena mengagihkan mengikut keperluan di kawasannya.
YB bukan sahaja perlu membantu orang susah tetapi juga menghulurkan bantuan untuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli parti malahan bila melawat majlis pengebumian perlu juga menghulurkan sumbangan seratus dua.
YOUTUBE
Justeru kepada calon PRU15, berhati-hati ketika berjanji dengan rakyat, jangan sampai mendapat gelaran kaki kencing kerana zaman media sosial ini segala video ucapan kita boleh diulang tayang selagi ia wujud di YouTube mahupun portal berita dan blog.
Mungkin kita boleh berasa menjadi superstar untuk kempen, mungkin dua minggu atau lebih tetapi hati-hati kerana satu undi amat mahal pada saat ini. Setiap calon perlu berhati-hati membawa diri semasa berkempen kerana jentera calon parti lawan akan sedaya upaya mencari kesalahan dalam setiap bait ucapan anda.
Walaupun gelaran YB menjadi impian, ingatlah rakyat negara ini semakin bijak menilai seseorang calon dan parti diwakili. Ada parti mengharapkan undi penyokong setia parti yang disebut pengundi putih, namun jika salah percaturan atau salah cakap boleh jadi kelabu dan hitam.
Kepada calon YB, berkempenlah dengan ikhlas dan berfakta semasa bertemu rakyat. Ingat, anda ingin menjadi wakil rakyat berdaftar, bukan superstar yang akhirnya sendu selepas sepenggal.-UTUSAN











