ORANG ramai sedar penyakit kanser paru-paru itu wujud dan secara amnya penyakit itu ramai menyangka hanya akan berlaku kepada individu menghisap rokok. Yang ramai tidak tahu ialah terdapat banyak faktor lain lagi boleh menyebabkan kanser tersebut berlaku.
Kanser berlaku apabila sel normal dalam tubuh bertukar menjadi abnormal. Apabila sel abnormal ini berkembang di luar kawalan, ia akan menjadi lebih besar dan membiak dengan lebih banyak.
Perunding Respiratori dan Doktor Am di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr. Lily Diana Zainudin berkata, antara faktor lain turut menyumbang kepada risiko kanser paru-paru ialah pendedahan terhadap debu yang terhasil daripada besi, kronium, aresenik dan asbestos. Bahan ini banyak digunakan dalam industri pembinaan, pencemaran udara dan gas diesel.
Katanya, ramai tidak sedar, keadaan di dalam rumah turut berupaya meninggikan risiko kanser paru-paru.
“Antara puncanya ialah gas radon yang merupakan gas radioaktif terhasil daripada sumber asli seperti tanah, air, dan batu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SUKAR
Gas radon terbukti sebagai punca nombor satu kanser paru-paru dalam kalangan golongan tidak merokok di Amerika Syarikat (AS).
Menurut kajian, gas tersebut boleh berkumpul dalam paru-paru dan melepaskan radiasi yang boleh mengakibatkan kanser.
Apa yang lebih berbahaya, gas radon tidak mempunyai bau atau warna, justeru agak sukar menyedari mengenai kehadirannya di sekeliling kita.
Dr. Lily berkata, mengelakkan gas tersebut daripada tersebar ke dalam rumah, pastikan rekahan atau lubang yang ada pada bahagian dinding atau lantai rumah ditampal.
“Pastikan juga aliran pengudaraan di dalam rumah berada dalam keadaan sempurna. Selalu pastikan pintu atau tingkap terbuka. Boleh juga pasang kipas untuk pengudaraan lebih baik,” katanya.
BAHAYA ASAP MEMASAK
Dr. Lily menegaskan, individu memasak di rumah turut perlu berhati-hati kerana cara memasak yang menghasilkan asap banyak melalui penggunaan minyak panas sebelum makanan dimasukkan dan proses membakar makanan menggunakan kayu dan arang turut boleh meningkatkan risiko kanser.
“Ia berikutan asap mengandungi bahan dan kompaun berbahaya yang mendorong pertubuhan kanser,” katanya.
Memetik kajian di Taiwan menunjukkan hubung kait antara memasak dengan kanser paru-paru wanita berbangsa Cina tidak merokok, tetapi mempunyai risiko kanser paru-paru tinggi kerana banyak menghabiskan masa dengan memasak.










