TIGA kali dijangkiti virus Covid-19 ternyata memberi kesan kepada pernafasan penyanyi, Siti Nordiana. Situasi itu kata penyanyi berusia 38 tahun itu, sedikit sebanyak mengganggu ketika dia melontarkan suara untuk menjayakan persembahan.
Susulan masalah itu, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana terpaksa berdepan dengan kritikan pedih segelintir pihak yang mendakwa, kualiti vokalnya merudum selepas gagal mempamerkan persembahan terbaik dalam beberapa acara besar sebelum ini.
“Ada ketika, penyanyi tidak cukup rehat. Kami bukan mesin, ada masa okay tetapi ada ketika turut berdepan masalah kesihatan.
“Saya contohnya, sudah tiga kali dijangkiti Covid-19. Sejak 2020, setiap tahun saya terpaksa menanggung sakit ini.
“Tidak dinafikan, ia memberi kesan kepada pernafasan, tetapi itu bukan alasan untuk saya menyanyi main-main. Saya akui, ada beberapa persembahan saya yang mendapat kritikan netizen,” katanya.
Menyedari masalah pernafasan yang terus membelenggu dirinya, Nana tidak berputus asa mencari solusi untuk mengatasinya.
Dia sedar, setiap ujian yang datang menjadi pembakar semangat untuk memberikan kualiti persembahan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya ambil kelas dengan Cikgu Syafi untuk mengasah kembali vokal. Itu yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki mutu nyanyian,” ujarnya.
LAGU ‘LEMAN’
Mengulas tanggapan segelintir pihak yang terus melabelnya sebagai penyanyi lagu ‘leman’, juara Gegar Vaganza musim kedua itu bangga dengan ‘cap mohor’ berkenaan.
“Saya bangga sebab sekurang-kurangnya ada identiti diri sebagai penyanyi. Lagu ‘leman’ ini sudah sebati dengan saya. Sebenarnya, Datuk M. Nasir pernah berseloroh, apabila bertanya sama ada saya boleh menyanyi atau tidak lagu yang dia akan hasilkan?
“Dia tahu saya sudah biasa menyanyi lagu mendayu-dayu. Saya tidak kisah dengan tanggapan orang sebab kalau pergi karaoke, kita juga akan pilih lagu begitu,” katanya.
‘Leman’ merujuk kepada lagu tangkap leleh yang pernah digunakan oleh maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, sehingga gelaran itu melekat kepada penyanyi lagu Memori Berkasih tersebut.
Menepis dakwaan kononnya dia bukan penyanyi versatil, Nana menjelaskan, dia selama ini dikenali sebagai penyanyi lagu jiwang.
“Versatil bermaksud boleh menyanyi pelbagai jenis lagu. Macam saya sudah ada forte sendiri, kalau nak ubah konsep susah sebab peminat sudah mengenali saya dengan lagu sedemikian.
“Kalau bagi lagu Melayu, senang saya hendak lenggokkan. Tetapi, kalau lagu R&B, memang akan ambil masa. Saya tidak mahu mencuba genre yang tidak bersesuaian dengan kemampuan diri,” katanya.
Selain menyanyi, Nana juga aktif berlakon dalam beberapa drama rantaian televisyen, sekali gus membuktikan dia mempunyai bakat lain sebagai anak seni.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran dan drama terbaru juga sudah ditayangkan. Jadi, sekarang masa untuk saya fokus kepada nyanyian. Kalau ada tawaran yang bagus dan sesuai, kenapa tidak?,” katanya.
IDAM KONSERT
Melihat rakan-rakan artis lain kian rancak mengadakan konsert ibarat ‘melepas dendam’ selepas terkurung sekian lama dek Covid-19, Nana turut menyimpan keinginan sama.
Namun, dia tidak mahu terburu-buru dan untuk memastikan konsert yang diidamkan menjadi realiti, segala aspek seperti lokasi, tarikh, masa serta tiket perlu diperhalusi sebaik-baiknya.
“Sebenarnya saya rancang untuk menjayakan konsert tahun ini. Tetapi, melihat keadaan semasa, mungkin tahun depan lebih sesuai. Saya dengan pasukan tidak mahu mengambil risiko apabila terburu-buru.
“Saya lihat ramai artis buat konsert, begitu juga dengan lambakan konsert artis seberang.
“Dari segi penajaan, terutama daripada syarikat besar, ada proses yang perlu dilalui. Gambaran mengenai konsert sudah ada dan segala perkembangan akan diumumkan kelak,” katanya.
SINGLE SUNTIK ELEMEN SUNDA
Impian ibu kepada anak lelaki tunggal, Muhammad Rayyan Nakhaie Mohd. Faizal, untuk berkolaborasi dengan M.Nasir akhirnya tercapai menerusi kemunculan single terbaru, Menyantun Kasih.
Single terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. merupakan kolaborasi pertama dengan sifu industri muzik itu dan penulis lirik, Keon.
Nana menjelaskan, dia tertarik dengan lagu tersebut yang menyuntik elemen etnik Sunda kerana berbeza dengan karya dipersembahkannya sebelum ini.
“Banyak cabaran dan pengalaman sewaktu merakamkan lagu ini. M. Nasir sendiri yang bimbing dari segi penghayatan dan lontaran vokal.
“Keon pula menerangkan erti lirik lagu supaya saya faham maksud yang ingin disampaikan. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Sementara itu, M. Nasir selaku penerbit dan komposer single tersebut berkata, dia tidak mempunyai masalah besar untuk bekerjasama dengan Nana.
Jelasnya, lagu tersebut dihasilkan atas permintaan penyanyi itu dan berbeza dengan lagu etnik pop fusion yang selalu dihasilkan.
“Apabila dirakam, ia sudah menjadi lagunya sendiri dan itulah magis yang dia miliki,” katanya.
Video muzik Menyantun Kasih boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital.











