KIRA-KIRA 1.2 juta pengundi atau 5.68 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi yang layak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun. Kelompok ini dinamakan sebagai Undi18.
Berdasarkan teks Ucapan Amanat Tahun Baharu Menteri Pengajian Tinggi 2022, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, 38 peratus atau 452,559 pengundi daripada 1.2 juta pengundi muda merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sama ada di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti.
Pelaksanaan Undi18 buat pertama kali berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu. Ketika itu, Undi18 hanya mewakili sekitar 6.4 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi di Johor.
Jumlah ini adalah kecil sehingga ada pihak menyatakan bahawa Undi18 bukanlah penentu kepada pembentukan kerajaan Johor pada ketika itu.
Persepsi tentang ketidakyakinan Undi18 ini semakin kuat apabila rata-rata pengundi muda tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Hal ini berpunca daripada literasi politik dan kesedaran untuk mengundi masih pada tahap rendah.
Sewaktu penulis bersama rakan penyelidik turun ke padang dalam tempoh menjelang PRN Johor, pengundi muda berpandangan faktor mereka turun mengundi banyak bergantung kepada rakan sebaya. Ini bermakna, jika rakan-rakan mereka turun mengundi atau mengajak untuk keluar mengundi, maka tahap bagi mereka keluar mengundi adalah tinggi.
Ada juga menyatakan faktor ibu bapa. Hal ini boleh difahami kerana pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun di bawah tanggungan ibu bapa. Ada yang masih tinggal bersama ibu bapa. Ada yang menyambung pengajian di peringkat tertiari di IPT namun masih terikat dengan keputusan ibu bapa.
Sekiranya dalam PRU15 nanti tidak semua pengundi muda dapat menunaikan tanggungjawab, sekurang-kurangnya kita boleh meletakkan harapan yang tinggi kepada 38 peratus atau 452,559 pengundi daripada 1.2 juta pengundi muda yang sedang menyambung pengajian di IPT.
Hal ini kerana mereka merupakan kumpulan terpelajar dan mempunyai akses untuk meningkatkan tahap literasi politik mereka secara lebih mudah. Sebagai contoh, pengundi yang merupakan mahasiswa di universiti sudah tentu mempunyai kelebihan kerana berada dalam persekitaran ilmu dan boleh dibimbing oleh para pensyarah dan senior mereka.
Faktor rakan sebaya juga akan menjadi signifikan kerana mereka dikelilingi dengan rakan-rakan yang mungkin lebih cakna tentang perkembangan politik dan pilihan raya sekali gus boleh mempengaruhi untuk keluar mengundi.
Selain itu, peranan universiti juga besar dalam usaha meningkatkan tahap literasi politik mahasiswa melalui usaha dan pendekatan advokasi yang tersusun. Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya telah menubuhkan Unit Literasi Politik dan Advokasi (ADVOKASI) di bawah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS).
CAKNA
Unit ADVOKASI ini berperanan sebagai pusat rujukan kajian sosialisasi politik dan kenegaraan belia secara komprehensif, peneraju program advokasi politik, demokrasi dan kenegaraan dalam kalangan belia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan penyedia latihan dan program pendidikan politik, demokrasi dan kenegaraan dalam kalangan belia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Unit ini juga serius menggerakkan advokasi awam di media bagi meningkatkan kesedaran awam khususnya pengundi muda mengenai kepentingan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi. Penulis percaya IPT lain turut mempunyai perancangan dalam menguruskan agenda Undi18 mengikut kaedah dan pendekatan tersendiri.
Di peringkat KPT, satu memorandum persefahaman dan nota kerjasama telah ditandatangani antara universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Program Memperkasa Pendidikan Undi18.
Rentetan itu, sebuah jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar ditubuhkan sebagai platform pelaksanaan pendidikan pengundi kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Literasi dan kesedaran untuk mengundi tidak akan bermakna jika mahasiswa di IPT tidak turun mengundi atau terhalang daripada menunaikan tanggungjawab. Inilah cabaran besar dalam pelaksanaan Undi18 kerana kita masih belum ada kepastian berapa ramaikah pengundi muda khususnya di IPT akan keluar mengundi.
KPT telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa IPT perlu memberi pelepasan kepada mahasiswa mereka pada 17 hingga 21 November ini untuk pulang mengundi pada PRU15. Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh tersebut hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain.
Jika mengadakan PRU15 adalah kos bagi negara, keluar dan balik mengundi juga adalah kos buat mereka. Semasa PRN Johor, universiti telah menyediakan pengangkutan kepada mahasiswa untuk balik mengundi. Ini sememangnya memudahkan mahasiswa menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
Dalam konteks PRU15, keperluan ini semakin besar dan mendesak kerana ia melibatkan mahasiswa yang akan balik mengundi ke setiap pelosok negara. Bagaimana nasib mahasiswa yang perlu pulang ke Sabah dan Sarawak atau mereka yang belajar di Sabah dan Sarawak pulang ke Semenanjung?
Siapakah yang akan menaja kos pergi dan balik mereka yang tinggi kerana terpaksa menaiki pengangkutan udara?
SPR khususnya perlu lebih cakna akan keperluan pelaksanaan Undi18 menjelang PRU15. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah menyediakan perkhidmatan undi pos dan membuka pusat pembuangan undi di kampus. Ini sudah tentu akan menjimatkan banyak kos kepada pelajar mahupun IPT.
Jika cadangan ini tidak sempat dilaksanakan dalam PRU15, SPR perlu membuat perancangan lebih rapi dan teliti untuk PRU16 agar Undi18 benar-benar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Tidak dinafikan, pengundi muda di IPT adalah penentu kejayaan Undi18 dalam PRU15 akan datang. Namun, hak dan tanggungjawab mereka selaku pengundi perlu disantuni dengan sebaik-baiknya. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia dan Ketua Unit ADVOKASI, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).











