Anasir asing seludup masuk setiap kali PRU diadakan? - Utusan Malaysia

Anasir asing seludup masuk setiap kali PRU diadakan?

M. Indira Gandhi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN tidak diam dengan anasir yang cuba merampas kedaulatan tanah air ini secara halus. Jika diserang secara keras, sudah tentu pertahanan negara akan bangkit menentang.

Tapi apabila serangan dilakukan secara halus dengan merubah struktur asas negara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan semasa penubuhan negara ini, jarang sekali orang awam memandang berat.

Begitulah dalam penerimaan doktrin struktur asas, tidak konsisten dan sering kali diperdebatkan, baik dalam kalangan pengamal perundangan mahupun persona badan kehakiman di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam sibuk meladeni proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jangan kita lupa dengan anasir bahaya yang cuba diseludup masuk ke dalam sistem negara.

Sebahagian besar rakyat marhaen mungkin tidak pernah didedahkan dengan pemakaian terma tersebut. Namun, doktrin asing ini mampu memporak-perandakan kehidupan rakyat, atas tangan mereka yang diamanahkan untuk memelihara kehakiman negara.

Persoalannya, dari manakah datangnya doktrin struktur asas ini dan bagaimana ia dikatakan mampu menjadikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai struktur asas lantas berupaya merampas identiti serta ciri-ciri asli yang menjadi asas Keluhuran Perlembagaan?

Jika ditelusuri, doktrin struktur asas banyak dikaitkan dengan keputusan satu kes di India pada abad ke-14, iaitu Kesavananda Bharati Sripadagalvaru & Ors. lwn. State of Kerala & Anor. IR 1973 SC 1461, yang telah banyak dipengaruhi oleh karya-karya Dietrich Conrad, seorang sarjana Jerman.

Dalam kes ini, mahkamah telah mengiktiraf bahawa peruntukan-peruntukan mengenai ‘Kebebasan Asasi’ adalah di luar kuasa pindaan Parlimen. Penghakiman tersebut turut menerangkan bahawa Parlimen hanya boleh meminda Perlembagaan tanpa menulisnya semula kerana kuasa untuk meminda bukanlah bermaksud kuasa untuk memansuhkan.

Namun begitu, Conrad berhujah bahawa dalam konteks ini, struktur asas hanya boleh digunakan sebagai ‘doktrin pilihan terakhir’ di mana pemakaiannya cuma terhad kepada kes-kes melibatkan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan sahaja.

Melalui keputusan hakim di atas, mahkamah menyenaraikan beberapa ciri di bawah Perlembagaan yang dianggap sebagai struktur asas. Dalam kes tadi contohnya, mahkamah telah menggariskan bahawa ciri keluhuran Perlembagaan, bentuk kerajaan sebagai republikan atau demokratik, karakter Perlembagaan sebagai sekular dan doktrin pemisahan kuasa sebagai struktur-struktur asas yang tidak boleh dipinda.

Di Malaysia, doktrin struktur asas pada awalnya diperkenalkan melalui kes Loh Kooi Choon lwn. Kerajaan Malaysia (1977) 2 MLJ 187 di mana isu berkaitan dengan kuasa Parlimen untuk meminda peruntukan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan asasi telah dibahaskan. Khususnya, cabaran terhadap pindaan Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan oleh Parlimen.

GERUN

Defendan dalam kes itu mempertikaikan bahawa wujud had dalam meminda Perlembagaan seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Agung India dalam kes Kesavananda Bharati.

Namun begitu, Mahkamah Persekutuan menolak pertikaian sedemikian dengan menyatakan bahawa peruntukan kebebasan asasi boleh dipinda sekiranya prosedur yang ditetapkan di bawah Perkara 159 Perlembagaan dipatuhi dengan betul.

Penerapan doktrin struktur asas juga telah ditolak dalam kes Phang Chin Hock lwn. Pendakwa Raya (1980) 1 MLJ 70, di mana Mahkamah Persekutuan mengemukakan “tidak cukup untuk kita hanya berkata bahawa Parlimen boleh meminda Perlembagaan mengikut cara yang mereka fikirkan patut, dengan kesemua syarat dipatuhi terlebih dahulu dengan bentuk yang ditetapkan oleh Perlembagaan sendiri.”

Bagaimanapun, kes Semenyih Jaya Sdn. Bhd. lwn. Pentadbiran Tanah Daerah Hulu Langat (2017) 5 CLJ 52 telah mengesahkan penerimaan doktrin struktur asas. Hakim Tan Sri Zainun Ali menekankan bahawa pindaan kepada Perkara 121(1) Perlembagaan tidak seharusnya dibaca secara sempit, selagi mana ia tidak bercanggah dengan konsep Keluhuran Perlembagaan seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 4(1).

Keputusan dalam kes Semenyih Jaya kemudiannya diikuti dalam Indira Gandhi a/p Mutho lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018) 3 CLJ 1455. Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi telah sebulat suara membatalkan penukaran agama Islam anak-anak secara unilateral oleh si bapa.

Dalam hal ini, mahkamah juga berpendapat bahawa kuasa kehakiman diwarisi oleh mahkamah sivil sepertimana termaktub di bawah Perkara 121(1) dan amat mustahak bagi mahkamah sivil melaksanakan fungsi mereka sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap organ lain.

Mahkamah syariah tidak diberikan kuasa sedemikian untuk menyemak tindakan pentadbiran yang mana kuasa semakan kehakiman terletak pada mahkamah sivil dan ini merupakan inti pati di bawah doktrin pengasingan kuasa, yang merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan.

Tuntasnya, beberapa kes yang diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan kebelakangan ini menunjukkan bahawa kedudukan badan kehakiman dan perundangan syariah semakin hari semakin hilang taring dan punca kuasanya.

Lebih menggerunkan apabila pihak-pihak bertikai dan peguam mewakili mereka kini semata-mata menyerahkan kepada tafsiran mahkamah tentang apa yang boleh diterjemahkan sebagai sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan dan apa yang tidak.

Identiti Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk melalui sejarah, budaya dan unsur tradisional serta seharusnya memelihara hak umat Islam dijadikan taruhan.

Konflik mengenai keabsahan peruntukan jenayah syariah di negeri-negeri, misalnya, bagai tidak bertepian. Gelanggang mahkamah yang penuh dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan ini pastinya nanti tidak mampu mengecap keadilan dan kesaksamaan yang didambakan oleh para pendukungnya. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Belia & Media Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) serta Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×