Stesen TV usah kuku besi

Stesen TV usah kuku besi

DATUK AYU PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kuasa pemilihan pelakon bagi produksi drama di tangan stesen televisyen (TV) bagaikan konflik yang tidak berkesudahan. Pelbagai rungutan diterima, terutama daripada syarikat produksi yang terpaksa berdepan pelbagai kerenah untuk memastikan naskhah bakal diterbitkan diterima stesen TV.

Belum lagi penerbit terpaksa melayan permintaan pelakon dan pengurusan mereka yang meletakkan bayaran mahal dan tidak ‘masuk akal’, semata-mata kerana menjadi pilihan stesen TV.

Penerbit juga terpaksa akur dengan permintaan stesen TV yang berlumba-lumba mengejar pelakon atau pempengaruh media sosial popular, tanpa meneliti terlebih dahulu keupayaan dan mutu lakonan mereka.

Soal bayaran diletakkan sepenuhnya ke atas bahu penerbit yang sudah sedia terbeban dengan peruntukan yang ciput memburukkan lagi situasi. Masihkah ada sinar di sebalik kemelut yang sudah bertahun-tahun berakar ini?

Hangat Seminggu mengetengahkan keluhan dan suara pembikin drama yang berharap stesen TV mempertimbangkan supaya kuasa memilih pelakon diserahkan sepenuhnya kepada penerbit.

Tolong percaya penerbit, pengarah – Ayu Puteh

Pengasas Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd., Datuk Ayu Puteh memohon stesen televisyen (TV) agar memberi kebebasan penuh kepada penerbit dan pengarah untuk memilih pelakon bagi menjayakan sesuatu projek. 

Katanya, ia perlu bagi mengelakkan pengarah dan penerbit terpaksa berdepan dan terbeban dengan pelakon yang tidak bersesuaian atau bermasalah, terutama yang dipilih stesen TV .

“Dalam industri drama dan filem, ada perkara yang stesen TV tidak tahu, tetapi kami penerbit terpaksa menghadapinya. Contohnya, dalam memilih pelakon. Tidak dinafikan, kadang-kala stesen TV juga membuat kesilapan dalam menentukan barisan pelakon.

“Kami sebagai penerbit dan pengarah pula memberikan cadangan senarai pelakon mengikut kesesuaian naskhah. Kami tahu, siapa yang sesuai, siapa yang tidak.

“Dalam hal ini, saya  berharap lebih banyak stesen TV memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pengarah dan penerbit untuk menentukan barisan pelakon. Tolong percaya kami,” katanya.

Ayu menegaskan, sebagai penerbit, dia mahu menghasilkan produk berkualiti dengan menggunakan khidmat pelakon yang mampu merealisasikan apa yang mereka inginkan di lokasi penggambaran.

“Sudah 10 tahun saya berkecimpung dalam industri, keuntungan kini jatuh nombor dua. Apa yang penting, kualiti drama dan filem yang diterbitkan. Itu lebih utama demi nama baik syarikat.

“Saya bersungguh-sungguh meminta, biar kami, produser dan pengarah menentukan barisan pelakon kerana kami tahu kemampuan mereka.

“Maaf cakap, bukan semua stesen TV nampak kesesuaian pelakon. Ada yang hanya mahu kejar rating dengan mengambil khidmat pelakon popular, tetapi belum tentu boleh berlakon dengan baik,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×