Kisah malang pesawat dibukukan - Utusan Malaysia

Kisah malang pesawat dibukukan

Naskhah hasil tulisan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila membaca buku ini, saya bagaikan tidak percaya tragedi kehilangan pesawat MH370 dan kemusnahan MH17 telahpun berlalu lebih lapan tahun yang lalu, biarpun kedua-dua tragedi itu bagaikan baharu sahaja berlaku. Mungkin kerana ketika itu saya seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, mengikuti perkembangan kedua-dua tragedi ini dengan dekat melalui laporan media massa tempatan.

Pelbagai spekulasi, teori dan cerita timbul akibat kedua-dua tragedi ini. Media sosial menjadi medan ‘wartawan jadian’ tidak bertauliah menjaja cerita mereka. Walaupun kisah-kisah mereka tidak berlandaskan fakta bahkan mereka jelas bukan sama sekali seorang pakar penerbangan, kisah mereka ‘jual’ begitu mudah dipercayai segelintir masyarakat, lebih-lebih lagi buat golongan yang tidak ambil peduli untuk menyemak kesahihan sebarang berita.

Kehadiran buku ini tepat pada masanya dan tiadalah orang yang lebih layak untuk menceritakannya selain daripada mereka yang benar-benar dekat dengan pengurusan tragedi ini.

Buku hasil tulisan mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), menjadi sosok penting di sebalik pengurusan krisis tragedi MH370 dan MH17.

Naskhah ini terbahagi kepada tiga bahagian membabitkan siapa penulis, insiden kehilangan pesawat MH370 dan kemalangan MH17.

Kehilangan MH370 sememangnya kekal misteri, bahkan masih menghantui diri penulis.

Sehingga ke hari ini beliau masih berharap untuk mengetahui kesudahan perjalanan MH370.

Tragedi kehilangan pesawat pertama kali berlaku dalam dunia. Justeru pada peringkat awal, pihak berkuasa di Malaysia tidak mempunyai satu prosedur operasi yang standard.

Namun kesungguhan setiap pihak yang terlibat telah menjadikan operasi pencarian berjalan dengan cara tersusun dan berkordinasi.

Sebagai pembaca, kita boleh melihat betapa hebatnya pegawai kita menyelaras operasi ini yang turut melibatkan banyak negara lain.

Sebanyak 26 negara melibatkan diri dalam operasi pencarian yang melibatkan 82 buah pesawat udara dan 84 buah kapal laut.

Pembaca boleh memahami keadaan perjalanan pesawat berkenaan, bagaimana ia berpatah balik sehingga menghilang di Lautan Hindi, laluan udara dilaluinya, dan pihak berkuasa yang mengawalnya serta banyak istilah penerbangan disampaikan dalam bahasa yang mudah.

Disebabkan kes inilah, jugalah penulis tidak pulang ke rumah selama tiga bulan dan tidak berpeluang menjejakkan kakinya di pejabat beliau di Putrajaya selama enam bulan.

Sewaktu MH17 ditembak jatuh, penulis berada dalam penerbangan ke Beijing bagi menguruskan hal melibatkan kes MH370.

Tetapi sebaik sampai beliau diberikan boarding pass untuk menaiki semula pesawat yang beliau datang tadi untuk kembali semula ke Malaysia.

Dalam tragedi MH17, pembaca dapat merasai kesukaran menguruskan kes ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan Ukraine seperti tidak bersungguh untuk membantu serta menyusahkan Malaysia dengan pelbagai prosedur yang tidak sesuai dengan keadaan yang berlaku.

Namun kita dihidangkan dengan kisah keberanian komando kita memasuki kawasan bergolak itu untuk mendapatkan kotak hitam serta menguruskan mayat mangsa tragedi.

Perkara ini dilakukan secara senyap-senyap sahaja oleh pasukan keselamatan kita dan kejayaan operasi ini amatlah dipuji.

Penghasilan buku ini adalah satu catatan sejarah daripada sumber bertaraf primer kerana penulisnya adalah individu yang menguruskan kedua-dua tragedi ini secara langsung.

Penghasilannya sekaligus menjawab beberapa prasangka atau persoalan yang berlegar di minda sebahagian kita.

Adalah amat penting untuk kita memahami perjalanan kedua-dua tragedi ini berdaraskan maklumat yang benar dan sahih dan bukannya dari sumber yang entah mana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×