Bukti artis nasyid masih berpengaruh - Utusan Malaysia

Bukti artis nasyid masih berpengaruh

SAMBUTAN hebat peminat membuktikan irama nasyid masih kukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia pernah menyebabkan golongan artis terhimpit disebabkan kekurangan persembahan dan sumber rezeki tersekat sehingga lelah untuk bernafas.

Bagaikan aturan Allah Yang Maha Esa, setiap ‘ujian’ yang datang akan dipertemukan kemanisan jika bersabar menghadapinya. Kemanisan itu turut dirasai penganjur Konsert Nasyid Legenda apabila jualan tiket laris bagai pisang goreng panas.

Vokalis kumpulan Inteam selaku penganjur, Hazamin Harun berkata, secara keseluruhannya 90 peratus tiket sudah terjual dan pihaknya yakin, baki tiket akan habis dimiliki pada saat akhir.

Katanya, sejak jualan dilancarkan pada 24 Ogos lalu, tiket berharga RM50 dan RM100 pantas direbut peminat.

“Setakat ini, hanya tinggal 30 tiket, itupun yang berharga RM200. Tiket lain semua sudah habis terjual. Kapasiti tempat duduk adalah 1,000 penonton,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sambutan hebat itu membuktikan pengaruh artis nasyid masih kukuh, malah kemunculan mereka tetap dinanti peminat.

Konsert yang dibawakan Inteam Records itu membariskan artis nasyid legenda seperti Rabbani, Hijjaz, Akhil Hayy dan Nazrey sebagai artis utama.

Penganjuran konsert turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) itu akan berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 29 Oktober ini.

Konsert tersebut boleh dianggap sebagai persembahan pertemuan beberapa nama besar dalam industri nasyid dan ditunggu-tunggu peminat.

Kumpulan Inteam yang popular dengan lagu Nur Kasih turut menjayakan persembahan dengan membawakan dua lagu.

Mengulas konsep persembahan, Hazamin berkata, konsert itu akan menterjemahkan perkembangan nasyid dari zaman Al-Jawaher, Nada Murni, The Zikr dan era kontemporari.

Jelasnya, setiap penyanyi akan menjalani latihan bermula Isnin ini sebagai persiapan memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×