Rasulullah SAW: Dari Hijrah hingga tahun ketujuh Hijriah - Utusan Malaysia

Rasulullah SAW: Dari Hijrah hingga tahun ketujuh Hijriah

Penghijrahan Rasulullah SAW membuka lembaran baharu penyebaran agama Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendahuluan
Penghijrahan Rasulullah SAW membuka lembaran baharu penyebaran agama Islam. Setelah Rasulullah SAW berdakwah selama 13 tahun di Mekah dan mendapat penentangan hebat orang Mekah yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hingga menyaksikan pembunuhan orang-orang Islam, Allah Taala telah mentakdirkan orang-orang Yathrib (nama lama bagi Madinah) menerima hidayah Islam lantas membawa kepada perpindahan kaum muslimin Mekah ke bumi suci Madinah selepas berlaku perjanjian al-‘Aqobah pertama dan kedua di Mina. Sehingga kini, lokasi perjanjian ini dijaga dengan dibina sebuah masjid dikenali Masjid al-Bay’ah.

Tahun Pertama Hijriah
Berikut adalah beberapa peristiwa penting pada tahun pertama hijriah:

1) Hijrah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersama Abu Bakr al-Siddiq dari rumah Baginda di Mekah ke Madinah pada hari 27 Safar. Mereka berdua telah berada di gua Thawr selama tiga hari.

2) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan Abu Bakr tiba di Quba pada hari Isnin 12 Rabiul Awal. Mereka berdua tinggal di Quba selama 14 hari.

3) Baginda mengasaskan masjid yang mula-mula sekali di dalam Islam iaitu Masjid Quba. Penduduk Madinah menyambut dengan penuh gembira kedatangan Rasulullah SAW di Madinah.

4) Berlaku pembinaan Masjid Nabawi dan berlaku tindakan mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansor.

5) Pegangan semua pihak terhadap Piagam Madinah yang merupakan perundangan pertama bagi negara Islam Madinah. Berlaku perjanjian antara umat Islam dengan Yahudi Madinah.

6) Rasulullah SAW tinggal sebumbung dengan Saidatina Aisyah.

7) Saidina Salman al-Farisiyy.

8) Keizinan melakukan peperangan terhadap golongan Quraysh.

9) Pensyariatan azan.

Tahun Kedua Hijriah
1) Jihad difardukan ke atas orang-orang Islam. Berlaku pemindahan qiblat dari al-Masjid al-Aqso ke al-Masjid al-Harom pada 15 Syaaban.

2) Kefarduan puasa, zakat, zakat fitrah dan sembahyang hari raya.

3) Berlaku peperangan Badr al-Kubro pada hari Jumaat 17 Ramadan dan kemenangan orang-orang Islam dalam keadaan bilangan mereka adalah 313 orang lelaki manakala bilangan orang-orang musyrik adalah 1,000 orang.

Seramai 70 orang musyrik terbunuh, antaranya adalah Abu Jahl dan Umayyah bin Kholaf. Orang-orang Islam yang syahid pula adalah sebanyak 14 orang sahabat.

4) Kelahiran Saidina Abdullah bin al-Zubayr bin al-Awwam yang merupakan anak pertama orang Islam daripada golongan muhajirin yang dilahirkan di Madinah.

5) Berlaku peperangan Bani Qoynuqo dan pengusiran mereka dari Madinah setelah dikepung selama 15 hari.

6) Saidina Aliyy bin Abu Tolib mengahwini Saidatina Fatimah al-Zahro -semoga Allah meredai beliau.

7) Saidatina Ruqoyyah merupakan anak perempuan Rasulullah SAW telah wafat.

Tahun Ketiga Hijriah
1) Nabi SAW mengahwini Saidatina Hafsoh binti Umar. 2) Berlaku peperangan Uhud.

3) Kelahiran cucu Rasulullah SAW yang bernama Saidina al-Hasan bin Aliyy -semoga Allah meredai mereka berdua.

4) Berlaku peperangan Hamro al-Asad.

5) Berlaku perkahwinan Saidina ‘Uthman bin Affan dengan Saidatina Ummu Kulthum anak perempuan Rasulullah SAW.

6) Berlaku tragedi al-Roji’ yang mengakibatkan kematian 10 orang sahabat atas sebab khianat.

Tahun Keempat Hijriah
1) Perutusan Bi’r Ma’unah yang akhirnya mengakibatkan kematian 70 orang sahabat atas sebab khianat.

2) Berlaku peperangan Bani al-Nadhir dan pengusiran mereka dari Madinah.

3) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Khuzaymah 4) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Ummu Salamah.

5) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Jahsh. Perkahwinan ini adalah berdasarkan perintah Allah dari atas tujuh petala langit tanpa ada sebarang wali dan saksi berdasarkan nas al-Quran di dalam Surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud:
Maka apabila Zayd telah menyelesaikan hajat beliau daripadanya (iaitu Zaynab binti Jahsh), Kami telah mengahwinkan anda dengannya.

6) Berlaku kefarduan hijab iaitu cadar muka bagi para isteri Rasulullah SAW.

Tahun Kelima Hijriah
1) Berlaku peperangan al-Khondaq (peperangan al-Ahzab) dan berlaku kekalahan tentera-tentera bersekutu selepas pengepungan selama 15 hari.

2) Berlaku peperangan Bani Quroyzoh dan pengepungan mereka selama 25 hari. Saidina Sa’d bin Mu’adz telah dilantik oleh orang Yahudi Bani Quroyzoh sebagai hakim untuk mengadili mereka lalu Saidina Sa’d telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada mereka sebagai balasan terhadap pengkhianatan mereka. Mereka yang telah dijatuhkan hukuman bunuh berjumlah 600 orang ke 700 orang lelaki.

3) Kewafatan Saidina Sa’d bin Mu’adz disebabkan luka parah yang ditanggung oleh beliau ketika peperangan al-Khondaq.

4) Berlaku tragedi Hadith al-Ifk (cerita dusta ke atas Saidatina Aishah) selepas peperangan Bani al-Mustoliq. Berlaku juga penurunan Surah al-Nur pada bulan Syaaban tahun kelima hijriah yang menyatakan bahawa Saidatina Aishah adalah bebas daripada cerita dusta tersebut.

5) Berlaku perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Juwayriyah binti al-Harith -semoga Allah telah meredai beliau- dalam keadaan beliau berusia 20 tahun.

6) Pengharaman perkahwinan wanita-wanita muslimah dengan lelaki-lelaki musyrik dan pengharaman perkahwinan lelaki-lelaki muslim dengan wanita-wanita musyrik.

7) Pensyariatan tayammum.

Tahun Keenam Hijriah
1) Kefarduan haji dan pengharaman membinkan anak angkat kepada ayah angkat.

2) Berlaku Perjanjian al-Hudaybiyah, Bay’ah al-Ridhwan dan penurunan Surah al-Fath.

3) Nabi SAW telah mengutuskan surat kepada raja-raja dan para pemerintah selepas Baginda pulang dari al-Hudaybiyah.

Tahun Ketujuh Hijriah
1) Berlaku peperangan pembukaan kota Khoybar dengan jumlah tentera Islam seramai 1,400 orang perajurit dan 200 orang tentera berkuda bersama-sama Nabi SAW. Peperangan ini telah mengakibatkan kematian 93 orang lelaki Yahudi dan kesyahidan 16 orang lelaki daripada kalangan orang-orang Islam.

2) Ketibaan Saidina Ja’far bin Abu Tolib -semoga Allah telah meredai beliau- dan para sahabat beliau dari al-Habashah. Saidina Abu Huroyroh -semoga Allah telah meredai beliau- juga telah memeluk agama Islam pada tahun ini.

3) Rasulullah SAW telah mengunyah daging kambing yang diracun yang telah dihadiahkan kepada Baginda oleh seorang wanita Yahudi yang bernama Zaynab binti al-Harith.

4) Pengharaman nikah Mut’ah dan pengharaman makan daging keldai belaan.

5) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Romlah binti Abu Sufyan (Ummu Habibah), Saidatina Sofiyyah binti Huyayy dan Saidatina Maymunah binti al-Harith -semoga Allah telah meredai mereka semua.

6) Umrah Qadha yang telah berlaku setelah berlaku perjanjian al-Hudaybiyah. Rasulullah SAW telah berada di Mekah selama tiga hari.

———-
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×