Pisahkan antara dimahu dan diperlu

Pisahkan antara dimahu dan diperlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTILAH ‘dimahu’ sering dikaitkan dengan menurut kata hati, keinginan yang tidak bertepi. Juga didorong oleh perasaan untuk mendapat kelebihan, bersalut kepentingan diri dan kecenderungan mengatasi orang lain. ‘Dimahu’ ada kala diletakkan pada pengertian terlalu mengikut kehendak naluri, cita rasa tanpa berfikir secara objektif tentang tujuan dan matlamat.

Berbeza dengan yang ‘diperlu’, iaitu lebih menjurus kepada mengutamakan kesan dan natijah daripada pilihan dan tindakan yang dibuat. Dikatakan bahawa orang yang mementingkan apa ‘diperlu’ itu dianggap individu berfikiran jauh. Mereka mengutamakan kesan kebaikan dan rumusan atau penyelesaian terbaik atas sesuatu isu atau subjek dalam kehidupan harian.

Diperkatakan tentang dua istilah ini sesuai dengan suasana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menjelang tiba. Proses pilihan raya selalunya menguji rakyat (pengundi) untuk menentukan apa yang ‘diperlu’ atau sekadar ‘dimahu.’ Apakah pilihan rakyat bertolak daripada kesedaran untuk memilih parti atau calon terbaik? Atau hanya semata-mata dipengaruhi oleh sentimen benci, marah, ingin mengajar atau apa sahaja alasan yang kadang-kadang bukan pun lahir dari hati yang ikhlas dan berpendirian tepat.

Mungkin yang dimahukan oleh sesetengah orang itu tidak kira mana-mana parti atau calon asalkan bukan parti atau calon yang tidak disukai. Mungkin juga pilihan yang bakal dibuat hanya berdasarkan pengaruh unsur-unsur fitnah dan hasutan daripada masyarakat sekitar yang berniat buruk dan terselit agenda tersendiri. Di sinilah perlunya kesedaran untuk meninjau, menyelidik lebih mendalam supaya tidak terdorong oleh sesuatu dakyah negatif dan kepalsuan. Buatlah pilihan secara rasional.

Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu.”

Ayat di atas jelas membawa peringatan kepada seseorang supaya tidak mudah terpengaruh oleh berita-berita yang dibawa oleh orang-orang bersifat fasik, suka menghasut, mencari keuntungan daripada tindakan memecahbelahkan orang lain. Juga diperingatkan dengan tegas supaya mengelak daripada terperangkap dengan pihak yang memiliki agenda lebih jauh, iaitu meruntuhkan kedaulatan agama dan bangsa.

Membuat pilihan tepat, iaitu berdasarkan ‘keperluan’, mestilah berlandaskan keyakinan bahawa parti yang dipilih benar-benar kuat, berwibawa dan berupaya mengurus tadbir pemerintahan negara atau negeri dengan baik dan berkesan. Asas yang boleh dilihat antaranya rekod kecemerlangan, daya kematangan berpolitik, berpendekatan sederhana, inklusif dan sentiasa bersikap adil kepada semua.

DAHAN SERPIHAN

Malaysia tidak mampu dan tidak sesuai dengan pendekatan politik bermirip berkepentingan kaum yang keterlaluan. Tentukan parti yang perlu diberi mandat memerintah negara atau negeri tidak hanya menang dengan pengarah menyuluh dan memfitnah kelemahan pihak lain, tetapi biar benar-benar memiliki kekuatan sendiri. Pilihlah parti yang bertunjang teguh, tegak merimbun serta mampu meneduh semua. Elak memilih dahan serpihan tanpa akar terdedah kekeringan.

Masa berlalu mengiringi bersama suasana dan peristiwa. Banyak pengajaran boleh dipungut, tidak kurang iktibar yang mampu dijadikan pedoman. Rakyat pernah melalui detik penyesalan, cemas mengganggu perasaan, resah digugat kestabilan, samar memikirkan masa depan. Biar segalanya dijadikan peringatan.

Pun begitu, parti-parti bakal bertanding pada PRU15 terdekat ini perlu menawarkan calon-calon yang benar-benar layak dan sesuai. Makna ‘sesuai’ meliputi menepati aspirasi pengundi tempatan. Termasuk bersikap mesra rakyat, berkebolehan memimpin dan bertindak memberi kecaknaan terhadap kebajikan dan keperluan rakyat.

Diikutkan yang ‘dimahu’, barangkali masih ada yang mahu menjadi calon walaupun sudah tiga atau empat kali mengalami kekalahan dalam pilihan raya. Malah, ada wakil-wakil rakyat yang sudah diberi isyarat ‘gagal’ oleh rakyat tetapi masih berselera kembali bertanding. Sepatutnya, pandai-pandailah menilai antara ‘masa yang diraikan selamat datang dan waktu untuk diucapkan selamat pulang.’

Berterus-teranglah pada hati dan perasaan. Matlamat yang dicari adalah untuk menstabilkan politik negara. Dengan kestabilan, banyak perancangan boleh diatur, pelbagai dasar boleh dicipta demi kebaikan rakyat dan negara. Kestabilan menjadikan perjalanan tadbir urus pemerintahan negara lebih fokus dan lancar tanpa diganggu atau diugut dengan mudah oleh mana-mana pihak.

Dunia berhadapan dengan pelbagai krisis dan cabaran. Kestabilan merupakan suatu elemen penting untuk menyelesaikan keadaan. Negara yang huru-hara tidak membantu pemerintah untuk merumuskan pendekatan terbaik bagi mengatasi sebarang permasalahan. Kemakmuran adalah suatu anugerah. Meremeh atau mempersia-siakannya ibarat mengundang kesal, mengeluh tak sudah. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×