UnaCoffee raih pelbagai anugerah

UnaCoffee raih pelbagai anugerah

AIDA Azmi dan suami, Mohd. Rawi Ahmad bersama anugerah yang diterima UnaCoffee keluaran syarikatnya, Fav Food Industries di Shah Alam, baru-baru ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


PENGALAMAN luas dalam bidang inovasi menjadi pemang­kin syarikat pemula (star­t-up) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fav Food Industries untuk menghasilkan UnaCoffee kopi tenaga rendah kafein, bervitamin B kompleks, tinggi protein dan menggunakan gula nano yang rendah indeks glisemik.

Pengalaman pelopor syarikat, Ts. Dr. Aida Azmi sebagai Ketua Inovasi dan Kreativiti di UiTM serta menjadi perunding industri makanan di Malaysia dan juga syarikat daripada Uni­ted Kingdom (UK) banyak membantu perjalanan beliau menubuhkan syarikat pemula yang mengeluarkan kopi jenama UnaCoffee tersebut pada 2019.

“Syarikat ini membangunkan produk makanan dan minuman berfungsi menerusi inovasi terkini industri makanan serta memasarkannya menerusi sistem ejen ke seluruh Malaysia.

“Syarikat saya memiliki lebih 170 orang stokis, ejen dan dropshipper di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui di BITCOM UiTM, baru-baru ini.

Aida berkata, sebagai tenaga pengajar dan usahawan sekali gus,dengan kesungguhan, kegi­gihan dan azam yang kuat, perniagaan yang beliau bangunkan pada 2019 itu berjaya mencipta pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

“Produk inovasi saya di ba­wah jenama UnaCoffee telah terjual lebih daripada 70,000 botol dalam masa setahun hingga saat ini,” katanya.

Mengimbas peristiwa pahit ketika baru memulakan bisnes UnaCoffee, beliau berkata, pandemik Covid-19 baru sahaja bermula dan saat paling sukar adalah bagaimana mendepani situasi gawat dalam tempoh pandemik lebih dua tahun tersebut.

“Pelbagai cabaran dan du­ga­an terpaksa saya hadapi, misal­nya kekangan untuk beroperasi di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masalah terputus bekalan mentah seperti botol, kotak dan kopi, masalah berkenaan mobi­liti staf disebabkan ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa dan juga kesukaran beradaptasi untuk menjalankan kelas dan ujian kepada para pelajar menerusi dalam talian (online),” katanya.

KOPI jenama UnaCoffee keluaran Fav Food Industries.

Jelas wanita berhati waja ini, berkat kesabaran dan kegigihan, UnaCoffee telah merangkul pelbagai anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara anugerah yang dite­ri­ma, pingat emas bagi pertan­dingan Invention, Innovation and Design Exposition (IIDEX) 2019 dan 2021, Anugerah Khas Cradle Commercialization Award (2019), pingat emas dan anugerah Best of The Best di The International Research and Symposium and Exposition (RISE), pingat perak bagi pertandingan peringkat antara­bangsa, PECIPTA 2019 serta ber­jaya tersenarai antara Top 10 Anugerah Pertandingan Inovasi SUK Ne­geri Selangor.

“Pada 2020, UnaCoffee sekali lagi menerima Pingat Emas bagi pertandingan peringkat antarabangsa iaitu ITEX2020.

“Syarikat Fav Food Industries juga terpilih sebagai finalis Malaysia Commercialization Year (MCY) 2020 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).Terdapat lebih 220 syarikat di bawah agensi kerajaan yang bertanding bagi anugerah berprestij ini dan Fav Food Industries amat bersyukur kerana terpilih antara 22 syarikat terbaik ke peringkat akhir,” katanya.

Beliau berkata, UnaCoffee juga amat bertuah kerana terpi­lih mengikuti program Leaders in Innovation Fellowship (LIF) 2020 di London ditaja oleh Newton Fund dan dianjurkan oleh Royal Academy of Engineering (RAEng).

Program tersebut membolehkannya meluaskan jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa serta mendapatkan khid­mat nasihat daripada mentor antarabangsa, David Russell sehingga kini.

“Ilmu dan pengalaman yang ditimba selama ini menjadi asas dalam memperkukuhkan perniagaan start up yang dijalankan dan saya menjadi mentor kepada lebih 170 orang stokis, ejen dan dropshipper,” katanya.

Aida turut terpilih mewakili UiTM bagi Anugerah Mentor Keusahawanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi pada 2021 dan finalis Anugerah Wani­ta Ikon Negeri Selangor 2022 an­juran Kelab Wanita Ikon Malaysia.

Dalam program kemasyarakatan, Fav Food Industries telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) bagi program khas “FeedYourFuture” pada 23 November 2020.

UnaCoffee juga menandatangai MoU bersama Ejen2u bagi program pemerkasaan wanita (WEMAP) bertujuan membantu wanita memperkasakan ekonomi keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×