Yang mana satu parti teras itu?

Yang mana satu parti teras itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK yang baik memang diakui mampu membina bangsa, agama dan negara. Tapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan sifat positif manusia itu sendiri.

Kita sendiri pasti sering dikongsi kisah mereka oleh rakan-rakan kalangan politik yang banyak mengalami peristiwa melibatkan kawan jadi lawan. Seseorang itu ditolong bersungguh-sungguh, contohnya untuk menduduki tempat tertinggi di peringkat tertentu. Namun tak sampai beberapa bulan orang itu ‘mencengkamnya’ balik.

Analogi paling tepat ialah seperti perumpamaan Melayu lama ‘bagaikan melepaskan anjing tersepit’, binatang itu menggigit pelepasnya balik. Pengalaman seperti ini wajar ditelan seperti manisan sahaja walaupun yang ditelan sebenarnya hempedu paling pahit.

Pada masa sama, ada pula manusia yang sama-sama berjuang tetapi tidak henti-henti dengki dan curiga atas kebolehan orang lain. Ini pun kena telan. Ramai pemimpin politik masa lalu yang menempuh pancaroba derita ini dengan kebanyakannya telah kembali ke rahmatullah pun. Sebilangan sahaja yang berdaya tahan (survive).

Kisah-kisah bersejarah dalam politik tanah air yang kembali kita saksikan di ambang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini umpama memberi ubat dan rangsangan untuk insaf dan bersyukur. Yang hendak disedari dan disyukuri ialah betapa pentingnya sesuatu persahabatan itu. Yang juga perlu kita insafi ialah dinamisme perjuangan memerlukan kedua-duanya – kawan dan lawan.

Cuma dalam politik, lawan bukan bermakna perlu dimusnahkan atau dicederakan. Lawan dalam politik seharusnya bererti berlumba dalam perjuangan secara rela hati dengan mementingkan etika harmoni parti.

Perjuangan tanpa lawan dan tanpa aral bukan perjuangan namanya.

Namun. proses tersebut tidak semestinya meracuni persahabatan atau hubungan sesama manusia, apatah lagi seagama. Sama ada telah melalui tempo yang menjengkelkan, mengecewakan, tikam belakang, api dalam sekam, waima PhD (penyakit hasad dengki) yang merencatkan hubungan politik pun, yang penting ingat perkara satu ini, ‘tegakkan yang hakiki.’

APOLOGETIK

Dalam konteks ini, orang Melayu tidak harus apologetik atas nama perjuangan membela nasib bangsa dan agama atau semasa menegakkan yang hakiki.

Pendidikan nasional mesti terasas kepada beberapa prinsip antaranya hak asal-usul di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; hak raja-raja, hak pribumi, bahasa dan budaya, di samping hak-hak sah kaum lain diterima.

Jika ada pihak tertentu, waima pertubuhan cauvinis pun memekak sana sini bab-bab baru disebutkan tadi, parti-parti Melayu dari Pakatan Harapan (PH) sendiri selain UMNO-Pas mesti berani menempelak mereka.

Jika warganet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja, seret mereka untuk didakwa cepat dan segera. Jangan teragak-agak bila berdepan dengan pencabulan hak asasi kaum.

Perimbangan kuasa ini perlu diterima oleh orang Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum Malaysia yang lain.

Hidupan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.

Dan setelah menempuh pengalaman 22 bulan kerajaan PH, 17 bulan Perikatan Nasional (PN) dan 14 bulan pimpinan kerajaan bercampur seorang pemimpin Barisan Nasional (BN), apakah sudah terbentuk rumusan dalam kalangan rakyat untuk penyelesaian segala kepincangan politik tanah air hari ini?

Adakah kita memerlukan sebuah parti teras untuk memandu sebuah gabungan politik yang memiliki kuasa memerintah? Seterusnya berupaya menguruskan hala tuju Malaysia – kerana bukankah itu bukti cerminan kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati sejak merdeka?

KETETAPAN

Diakui selagi bernama kerajaan, selagi itu cabaran yang ditempuh bukan alang kepalang getirnya. Tetapi untuk kali ini mendepani PRU15, rakyat perlu membuat ketetapan pilih parti teras yang benar-benar diyakini untuk mentadbir membawa Malaysia menjamin kestabilan dan kemakmuran. Tidak perlu lagi kelibat kerajaan yang cuma bergantung kepada satu, dua kerusi Dewan Rakyat, yang rapuh sekali tiangnya.

Dalam situasi genting inilah orang Melayu khasnya harus sentiasa berpegang kepada petua bahawa selagi suara Melayu itu merupakan suara majoriti, selama itu orang segan kepada sistem. Apabila orang Melayu tidak lagi menghargai sifat kemajoritiannya, maka pada masa itu kita berhadapan dengan dilema politik yang sangat teruk.

Orang Melayu harus bersatu dalam perjuangan bangsa, agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan. Jika agenda ini disambil lewakan atau berasa segan untuk dijayakan, lantaran takut apa orang lain kata, identiti Melayu akan berpaling kepada tahap takut dan teragak-agak.

Fakta politik bilangan – (politics of number) mesti dijuarakan, yakni dengan kekuatan 60 peratus Melayu-bumiputera di negara ini. Di samping menghormati hak semua kaum, usah takut atau ragu-ragu memperjuang dan mengekalkan apa yang hakiki bagi kita.

Ya, perjuangan hakiki membela semua kaum perlu terus diterapkan dalam perjuangan. Harus diakui kerana kestabilan dan kemakmuran dikecapi Malaysia hari inilah masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hamper 68 peratus kekayaan negara ini.

Meskipun ada segelintir mereka bebas mengatakan pelbagai cercaan atau penidakan konon disisih atau didiskriminasi, tetapi majoriti akur tiada warga nombor dua atau nombor tiga dalam negara ini. Mereka cukup maklum Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.

Tetapi hak-hak keistimewaan seperti yang terjamin di bawah Perkara 153 tidak harus dipolitikkan kerana hak-hak asas keistimewaan itu bukan sesuatu yang mencabul perlembagaan negara. Politik majmuk seperti Malaysia memerlukan pemimpin Melayu menjadi teras dalam kerajaan. Yang mana satukah parti Melayu itu? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×