Persoalan kerusi yang akan ditandingi oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin pada Pilihan Raya Umum (PRU15) terus menjadi bualan, apatah lagi beliau baru-baru ini memberitahu terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sama ada di Negeri Sembilan mahupun di Lembah Klang.
Meneliti laporan media dan khabar angin sebelum ini, beberapa kerusi disebut menjadi destinasi baharu buat Khairy selepas beliau memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Rembau.

Parlimen Tampin, Seremban dan Port Dickson antara kerusi yang disebut-sebut namun kebelakangan ini Parlimen Kuala Pilah juga masuk senarai.
KUBU KUAT
Keempat-empat kerusi ini pada pilihan raya umum yang lalu dimenangi oleh calon Pakatan Harapan (PH) dengan Seremban dan Port Dickson boleh dikatakan sebagai kubu kuat gabungan parti politik tersebut.
Sekiranya Khairy bertanding di dua kerusi berkenaan, cabaran yang bakal dihadapinya tentu bukan mudah kerana Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menantinya.
Jika Anwar memilih untuk tidak mempertahankan Port Dickson sekalipun, spekulasi mengatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjadi calon PH di Parlimen itu.
Parlimen Tampin pula menjadi yang paling awal disebut-sebut sebagai kerusi untuk ditandingi oleh Khairy. Bagaimanapun, UMNO Bahagian Tampin secara terbuka mahukan supaya calon BN di kerusi tersebut mestilah datang dalam kalangan kepemimpinan bahagian itu.
Secara jelas juga, UMNO Bahagian Tampin masih mahukan bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor mewakili mereka meskipun bekas Menteri Kerja Raya itu tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.
Bagaimanapun dengan Parlimen Kuala Pilah? Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, nama Khairy tiada dalam senarai nama lima calon yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Kuala Pilah bagi mewakili BN untuk merampas kembali kerusi tersebut.
Seperti mana di Tampin, sumber itu turut menambah, UMNO Kuala Pilah juga mahukan pemimpin dan anak tempatan bagi mewakili mereka.
“Jika tidak bersetuju dengan cadangan bahagian, pihak atasan hendaklah berbincang dan berhubung semula dengan bahagian,” katanya lagi.
Menurut sumber itu lagi, walaupun kelihatan sukar mencari kerusi terbaik buat Khairy di Negeri Sembilan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu diakui sebagai aset buat UMNO dan BN.
“Khairy adalah aset kepada parti dan bagi saya tentulah kepemimpinan parti mempunyai kaedah yang terbaik untuk mencari tempat untuknya, kita tidak mahu hilang ‘aset’ ini,” katanya. – UTUSAN










