ALOR SETAR: Desas desus peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran negeri, Datuk Suraya Yaacob semakin bertiup kencang.
Sumber memaklumkan, Exco daripada UMNO itu dijangka meletakkan jawatannya hari ini setelah menghadiri mesyuarat mingguan terakhir untuknya di Sungai Petani.
“Datuk Suraya sudah lama bersedia untuk melepaskan jawatannya. Namun saat ini adalah terbaik ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bila-bila masa sahaja nanti.
“Peletakan jawatan ini dijangka memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri memandangkan mereka kehilangan seorang Exco yang sangat cemerlang,” kata sumber itu di sini hari ini.
Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang dilantik memegang portfolio berkenaan pada Mei 2020 untuk bersama dalam kerajaan negeri pimpinan Pas itu.
Beliau antara tiga ADUN wanita yang terpilih menganggotai barisan Exco dan dengan pengalaman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kebajikan Wanita dan Usahawan negeri sepenggal sebelum ini beliau dianggap antara Exco yang cemerlang.
Sementara itu, turut tular sejak semalam satu majlis yang dihadiri Suraya bersama pegawai di bawah agensi dan jabatan portfolionya itu. Majlis itu difahamkan diadakan sebagai meraikan perpisahan dengan Exco berkenaan.
Spekulasi juga bertiup kencang bahawa nama Suraya antara yang dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menjadi calon salah satu Parlimen pada PRU15 kelak. – UTUSAN










