KEINDAHAN Gunung Jerai di Yan, Kedah memang tidak perlu disangkal lagi dengan kehijauan hutan dan kedinginan suhunya sudah cukup untuk menarik pelancong berkunjung ke gunung yang tertinggi di negeri Jelapang Padi itu.
Pemandangan di puncaknya yang indah dan memperlihat sawah padi terbentang luas serta perairan Selat Melaka yang memisahkan Sumatera dan Kedah turut memberi ketenangan kepada mereka yang mengunjunginya.
Kini, dengan pembukaan ladang strawberi di Gunung Jerai sejak 2019 lalu, sudah pasti ia akan terus menggamit pelancong ke situ bagi melawat tanaman tanah tinggi itu dengan lebih dekat.
Pengusahanya, Roshidi Md. Noor, 49, memberitahu, pengalamannya semasa tinggal di Cameron Highlands selama 27 tahun dianggap sebagai ‘guru’ yang banyak memberi ilham kepadanya untuk cuba memperkenal tanaman itu di tanah kelahirannya.
Katanya, dengan bermodalkan sebanyak RM300,000, dia telah berjaya membuka Jerai Hill Strawberry bagi menjadikan Gunung Jerai lebih meriah dengan kehadiran pelancong ke situ.
“Sebagai permulaan, saya hanya menanam 500 pokok sahaja tetapi dengan sambutan yang sungguh menggalakkan, kini ladang seluas 0.2 hektar itu sudah mampu menampung sebanyak 4,000 pokok.
“Kebanyakan strawberi yang terdapat di sini adalah jenis festival, monterey dan royal berry. Dengan perkembangan baik ini, saya cadang akan pelbagaikan lagi variasi yang terbaharu seperti strawberi putih yang pasti akan mendapat sambutan, terutamanya peminat strawberi di tanah air,” ujarnya ketika ditemui.
Menurut Roshidi, dengan pembukaan Jerai Hill Strawberry itu, penduduk, terutamanya di utara tanah air tidak perlu lagi ke Cameron Highlands bagi menghayati keindahan ladang strawberi.
“Pelancong boleh mendapatkan strawberi seperti yang terdapat di tanah tinggi lain kerana Gunung Jerai juga mempunyai suhu dan tanah yang sesuai untuk tanaman ini.
“Kualiti buahnya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sama dengan di tempat tanah tinggi yang lain. Ini terbukti dengan warna dan rasa buahnya. Mereka yang berdekatan tidak harus melepaskan peluang ini untuk mengunjungi Jerai Hill Strawberry.
“Pokok strawberi yang terdapat di sini juga mampu mengeluarkan buah sepanjang tahun dan musim buah ini bertambah meriah lagi pada November hingga Januari,” ujar bapa kepada empat anak itu.
Kafe pelengkap pakej
Di samping itu, Roshidi berkata, Jerai Hill Strawberry turut menyediakan kafe bagi mereka yang mahu menjamu selera sambil bersantai dengan dikelilingi pelbagai jenis pokok yang terdapat di gunung itu.
Sehingga hari ini, ladangnya mampu menghasilkan strawberi sebanyak 15 hingga 20 kilogram (kg) dan pengeluaran akan bertambah sehingga 100kg apabila pokok strawberi sebanyak 50,000 akan mula ditanam tidak lama lagi.
Selain menjual strawberi kepada pelancong, mereka juga membekalkan pokok tersebut kepada orang ramai yang berminat untuk menanamnya dengan harga RM10 sepokok.
Sementara itu Roshidi berkata, kejayaannya turut mendapat perhatian Sultan Kedah yang berkenan mencemar duli melawat ladangnya sambil menzahirkan rasa gembira dengan suasana yang terdapat di situ.
“Bagi menarik lagi pelancong ke sini, saya juga memproses produk hiliran berasaskan strawberi, antaranya ais krim, scones, milkshake dan jeli yang kini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung.
“Apa yang menarik, pelancong yang datang di sini bukan sahaja dalam kalangan orang tempatan, malah dari Indonesia terutamanya Sumatera yang datang bagi menghayati keindahan ladang strawberi yang terdapat di Gunung Jerai ini,” katanya.
Tambah Roshidi, kejayaannya pada hari ini bukan mudah kerana sebelum itu terpaksa menghadapi pelbagai rintangan, terutamanya penutupan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.
“Pada masa itu, saya baru sahaja membuka ladang dan tiba-tiba diarahkan tutup kerana penularan Covid-19 dan ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian kerana ladang tidak dapat beroperasi.
“Bagaimanapun, saya sifatkan ia sebagai cabaran kerana sebagai seorang usahawan, untung dan rugi adalah asam garam dalam dunia perniagaan, malah saya tetap meneruskannya hingga berjaya seperti hari ini,” ujarnya.
Sebahagian pengunjung teruja melihat anak pokok strawberi yang dijadikan sebagai sebahagian daripada dekorasi kafe berkenaan.









