AKHIRNYA yang dinanti-nantikan terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Pengumuman itu memperlihatkan jiwa besarnya dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat sekali gus membuktikan amalan demokrasi masih kukuh dilaksanakan di negara ini.
Bahkan, langkah ini membolehkan kerajaan yang bakal dibentuk lebih stabil bagi melaksanakan dasar dan pentadbiran negara jauh lebih baik, lebih-lebih lagi dalam berhadapan musim tengkujuh. Dalam masa sama, kerajaan baharu dapat menarik semula pelaburan dari luar.
Pandangan sama diberikan penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali yang menyifatkan pembubaran ini demi mewujudkan kestabilan politik selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’ pada 20 Februari 2020 disebabkan tindakan beberapa ahli Parlimen berpindah parti. Bagaimanapun, kerajaan tersebut menjadi tidak kuat kerana mempunyai majoriti mudah yang menyebabkan ketidakstabilan berlaku kerana terlalu banyak politiking.
“Tambahan pula masa itu negara berdepan pandemik Covid-19 dan keadaan ini turut melemahkan ekonomi negara dan kemudian krisis yang menyebabkan Muhyiddin meletak jawatan disebabkan penarikan sokongan.
“Walaupun ada memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) yang memperlihatkan kerajaan Ismail Sabri agak stabil dan banyak rang undang-undang diluluskan di Parlimen, namun tidak begitu stabil juga kerana Perdana Menteri sendiri tidak mendapat kepercayaan sepenuhnya dalam kerajaan sendiri. Seolah-olah ada suara-suara mengkritik malah akhir-akhir ini kita lihat menteri-menteri dalam Perikatan Nasional (PN) juga mengkritik beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, pembubaran Parlimen membuka laluan kepada PRU yang merupakan satu jalan untuk mengembalikan mandat rakyat dan berpeluang memilih kerajaan baharu. Kerajaan baharu ini diharap mendapat majoriti kukuh bagi memastikan kestabilan politik untuk jangka masa panjang, menjana ekonomi serta kehidupan yang sejahtera.
Menyedari ada dalam kalangan rakyat mahupun ahli politik yang mengkritik pembubaran ini, mereka perlu sedar bahawa pentadbiran kerajaan sebelum ini bukan daripada mandat rakyat yang sebenar tetapi hasil perkongsian dan persetujuan anggota Parlimen membentuk kerajaan.
BERBEZA
Asasnya, negara kita tidak stabil dan ini menyebabkan gangguan terhadap ekonomi, rasa ketidakpercayaan pelabur dan mutakhir nilai ringgit jatuh ‘berbeza’ dalam tempoh 24 tahun. Ini memberi kesan kepada ekonomi kerana hutang negara bertambah. Ia ditambah jangkaan ahli-ahli ekonomi bahawa pada tahun depan rakyat akan berdepan situasi ekonomi lebih sukar.
Maka jalan paling terbaik adalah mengadakan PRU dan dijangkakan selepas ini tiada lagi ketidakstabilan kerana ahli Parlimen yang dilantik tidak akan sewenang-wenangnya melompat parti.
“Kalau kita lihat dalam kerajaan campuran sekarang, mereka seolah-olah bersama dalam kerajaan tetapi tidak sehaluan dalam politik. Kita lihat Muhyiddin sendiri digulingkan oleh anggota-anggota parti dan Parlimen dalam kerajaan sama.
“UMNO menggulingkan Muhyiddin dan akhir-akhir ini kita lihat Muhyiddin sendiri menuduh kerajaan Ismail Sabri lemah. Jadi, kita nampak di situ mereka tidak sehaluan menyebabkan pentadbiran kerajaan Ismail Sabri tidak sihat sehingga sukar mengimplikasikan polisi dan memastikan negara pada landasan yang betul serta baik kerana antara komponen-komponen kerajaan ini sebenarnya musuh politik di peringkat pertarungan demokrasi,” ujarnya.
TAKSUB
Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Hizral Tazzif Hisham berpendapat, kerajaan sedia ada memerlukan mandat daripada rakyat bagi menghadapi keadaan dunia yang serba tidak menentu. Kita amati mandat yang diperoleh dahulu hasil daripada kekecewaan terhadap UMNO yang didakwa tidak lagi memperjuangkan kehidupan rakyat seperti mana yang telah dilakukan panjang lebih 60 tahun pemerintahannya.
Rakyat yang kecewa dengan tingkah laku segelintir pemimpin UMNO digunakan oleh pihak yang licik untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Hizral Tazzif, senario yang lebih kurang sama dalam PRU14 dijangka berlaku dalam PRU15. Orang Melayu terpecah kepada lima golongan akibat politik tetapi kaum Cina masih bersatu menyokong parti yang memperjuangkan nasib mereka.
Ini tidak berlaku kepada orang Melayu, mereka lebih taksub kepada parti pilihan masing-masing dan mengetepikan nasib bangsa sendiri.
“Walaupun benar ketidakstabilan politik akan menyebabkan ekonomi negara semakin lemah tetapi saya berpandangan ia hanya boleh diselesaikan jika semua parti politik boleh duduk semeja berunding dan mengutamakan kepentingan bangsa dan negara.
“Jika ada pihak yang enggan mengetepikan kepentingan individu berbanding kepentingan negara akan menyebabkan masalah yang sama berlaku. Tambahan suasana ekonomi dunia sedang tidak menentu dan ancaman Covid-19 masih lagi ada. Penyatuan rakyat tanpa mengira ideologi amat penting untuk mememastikan Malaysia dapat mengharungi krisis berkenaan,” ujarnya.
Kalau difikirkan hendak kembali kepada suasana politik zaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) dahulu adalah sukar tetapi tidak mustahil. Apa yang penting ialah menggembleng iltizam semua rakyat agar bersatu di belakang kerajaan, menyokong apa jua rancangan kerajaan dan kerajaan pula perlu sedaya upaya memastikan hasrat rakyat itu dipenuhi.
Tidak kira parti mana yang memerintah, mereka perlu kurangkan politiking dan tumpu kepada tanggungjawab yang dipikul. Jangan kecewakan rakyat yang mana akhirnya rakyat akan menolak parti yang tidak mengutamakan mereka pada PRU16 akan datang. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











