FILEM Sayap-Sayap Patah (SSP) mungkin tidak menyajikan naskhah berdasarkan kisah benar yang terjadi di negara kita.
Ia sebaliknya, memaparkan kisah tragedi menyayat hati yang menggemparkan negara jiran sekitar 2018, menerusi olahan sutradara terkenal Indonesia, Rudi Soedjarwo.
Filem itu bagaimanapun, tetap mampu menjentik naluri kemanusiaan dalam diri mereka yang menonton. Malah, ia memberikan impak tersendiri bagi mereka yang menggemari naskhah seperti ini.
Penerbitnya, Denny Siregar berkata, usaha mengangkat tragedi rusuhan yang menimpa anggota Densus 88 di lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia itu dilihat bertepatan untuk dijadikan sebagai monumen, tidak cuma buat rakyat Indonesia, tetapi juga bagi sesiapa sahaja yang menontonnya.
“Biarpun tragedi itu tidak berlaku di Malaysia, ada dalam kalangan rakyat Indonesia yang sudah terlupa insiden berdarah yang pernah menggemparkan ini.
“Kita tidak mahu melupakan jasa pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keamanan.
“Hasrat utama saya terbitkan naskhah ini adalah untuk mengingatkan anak saya dan anak muda lain di Indonesia mengenai pahlawan yang sanggup berkorban demi negara.
“Jika negara melupakan pengorbanan pahlawan ini, setidak-tidaknya filem yang saya hasilkan ini menjadi sebuah monumen buat mereka, keluarga dan rakyat umumnya,” katanya.
Lawan keganasan
Berkongsi lanjut mengenai usaha merealisasikan kisah ini ke layar perak, Denny mengakui, tidak mudah mendapatkan keizinan daripada pihak berkuasa Indonesia.
Katanya, satu daripada sebab, kejadian yang berlaku ini dianggap mendedahkan kelemahan pasukan polis di negara itu.
“Balai polis bolos sehingga tawanan yang terdiri daripada pengganas dikehendaki, bangkit merusuh dan menyebabkan beberapa anggota polis terkorban. Kejadian ini dianggap memperlihatkan kelemahan pihak polis dalam menghadapi keganasan.
“Namun, saya tetap perjuangkan hasrat untuk membawa kisah ini ke filem kerana mesej utama yang ingin disampaikan adalah terorisme itu nyata. Mereka kejam dan kita harus lawan bersama-sama,” katanya.
Tambah Denny, ketika penggambaran sehingga filem itu ditayangkan, SSP mendapat banyak cacian di media sosial. Malah, ada penonton, terutama yang berhaluan kiri kecewa kerana dipertontonkan dengan kebencian.
“Bercakap mengenai ancaman, dari dahulu lagi saya sudah sering mendapat pelbagai ugutan. Ini kerana, saya juga aktivis politik media sosial di Indonesia dan memang aktif melawan terorisme.
“Namun, dalam naskhah ini, saya tidak keterlaluan menonjolkan elemen terorisme. Apa yang dipertontonkan dalam SSP ini sudah diperhalusi dengan garapan bersesuaian. Jika tidak, ia akan jadi sebuah naskhah yang ‘gore’,” katanya.
Tragedi nyata
Bercerita lanjut, penerbit berusia 49 tahun itu berkata, biarpun memaparkan kisah nyata, dia tidak mungkin mengetengahkan elemen keganasan keterlaluan untuk disajikan kepada umum.
“Saya ada melihat foto mereka yang terkorban dan kejadian itu mengerikan. Tidak mungkin gambaran itu yang kita ingin berikan kepada khalayak.
“Saya sebaliknya, mahu menghadiahkan naskhah yang indah dan cantik untuk menghargai pengorbanan mereka yang terkorban. Meskipun tewas, tetapi mereka kalah dengan terhormat.
“Saya mahu pertontonkan kepada semua, bagaimana kekalahan boleh jadi penguat semangat untuk perjuangan pada masa hadapan,”katanya.
Denny juga yakin, layar perak boleh menjadi medium atau platform terbaik untuk membangkitkan semangat individu bagi menggali dan mengenali semula sejarah.
“Saya yakin menerusi cara ini, ramai yang mula sedar dan ingin tahu sejarah negara. Tiada salahnya jika pelajaran sejarah itu disuntik dalam elemen hiburan. Apa yang penting, orang kembali berminat dan ingin tahu mengenai sesebuah peristiwa yang berlaku.
“Hal yang sama berlaku pada SSP apabila ramai yang ingin tahu lebih lanjut dan kembali mengingati tragedi itu. Bagi saya, ia sesuatu yang positif dan mengesankan,” katanya.
SSP lakonan Nicholas Saputra dan Ariel Tatum yang ditayangkan di Indonesia bermula 18 Ogos lalu dan bakal menemui penonton di negara ini bermula 13 Oktober ini.
Nicholas melakonkan watak Adji, anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel Tatum).
Turut membintangi filem ini adalah rapper terkenal Indonesia, Iwa K dan dibantu dengan cemerlang oleh Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan, Revaldo dan ramai lagi.
SSP digarap dengan gaya tersendiri oleh Rudi yang menggilap bakat Nicholas, kira-kira 20 tahun lalu menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta.
Filem lain arahan Rudi termasuk 9 Naga, Tentang Dia, Mengejar Matahari, 40 Hari Bangkitnya Pocong dan Mendadak Dangdut.
Lagu Ku Tunggu Senyummu dendangan Ipang Lazuardi telah dipilih menjadi OST filem blockbuster ini. Lagu runut bunyi untuk pasaran Malaysia pula dibawakan penyanyi muda, Amir Masdi.










