Tidak perlu bina universiti awam baharu

Tidak perlu bina universiti awam baharu

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu membina universiti awam (UA) baharu walaupun berlaku lambakan calon kerana masalah itu hanya bersifat sementara.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kegagalan 20,732 calon yang layak untuk mendapatkan tempat adalah disebabkan pandemik dan pelajar membatalkan sementara hasrat menyambung pembelajaran.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu mengemukakan insentif untuk menarik calon-calon berkelayakan tersebut menyambung pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada saya untuk mewujudkan UA baharu itu buat masa ini tiada keperluan tetapi kerajaan boleh membantu pastikan pelajar-pelajar dapat menyambung pembelajaran di IPTS dengan insentif tertentu bagi memperkasa pusat swasta itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, melalui pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, terdapat beberapa perkara yang baik dan dapat memperkukuh pendidikan negara.

“Antaranya kerajaan setuju menaikkan nilai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada RM3.50 daripada RM2.50. Bantuan awal persekolahan itu juga sangat membantu golongan ibu bapa kerana ia diberikan kepada semua murid tanpa mengira kumpulan golongan dan ketiga, mengenai peruntukan untuk sekolah daif,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah dengan pelbagai insentif dan bantuan untuk hampir setiap lapisan masyarakat selain mempertahankan ekonomi ketika dunia berdepan kelembapan..

Daripada RM372 bilion, kerajaan terus mengutamakan bahagian pendidikan dengan menyalurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) RM55.6 bilion, iaitu peruntukan terbesar antara segmen lain.

ANUAR AHMAD

Bagaimanapun, Anuar berkata, terdapat perkara yang ada perkurangan dan tidak diperhalus dengan betul oleh kerajaan di dalam Bajet 2023.

“Misalnya, kita nak cakap tentang pendigitilan pendidikan tetapi dalam pembentangan tiada bajet khusus berkenaan perkara tersebut cumanya kita dapati ada program di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Di bawah program tersebut diperuntukkan sebanyak RM700 juta kepada 3,700 buah sekolah sedangkan di Malaysia mempunyai lebih 10,000 sekolah tetapi hanya sebahagian sahaja yang dapat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Profesor Dr Omar Yaakob berkata, peruntukan kepada pendidikan sebagai dana paling tinggi sememangnya wajar memandangkan ia menentukan masa depan negara.

“Tetapi kebimbingan kita ialah bagaimana untuk memastikan dana ini dapat disalurkan dengan telus tanpa ketirisan yang melanda dana pendidikan seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×