Manfaat sumber asli negara atasi penurunan ringgit

Manfaat sumber asli negara atasi penurunan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memanfaatkan sumber asli negara dalam usaha menangani aliran ringgit yang terus menunjukkan trend penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis ekonomi berpendapat, aliran mata wang negara yang lemah berbanding dolar AS menjadikan barangan import lebih mahal sekali gus menyebabkan barangan import yang dijual di pasaran tempatan menjadi mahal.

Langkah itu sejajar dengan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos tahun lalu jelas menunjukkan kebergantungan negara terhadap makanan import semakin meningkat apabila mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion pada 2020.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sumber asli negara perlu digunakan sepenuhnya bagi menghasilkan produk terutamanya untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, apabila nilai ringgit menyusut, ia secara langsung meningkatkan harga barangan import kerana lebih 80 peratus transaksi di negara ini bersandarkan kepada dolar AS.

Katanya, tindakan itu perlu bagi elak rakyat terutama golongan B40 terkesan dengan peningkatan kadar barangan import susulan penyusutan nilai ringgit di samping inflasi sedia ada.

“Banyak sebenarnya sumber asli yang boleh digunakan dengan lebih mendalam lagi se­perti baki bijih timah, besi dan manfaatkan getah serta kelapa sawit.

“Produk yang boleh dihasilkan daripada pokok kelapa sawit bukan setakat minyak daripada buah, mungkin batangnya boleh diguna buat papan lapis cuma kena buat kajian mendalam kerana pokok itu mengandungi (kuantiti) air yang tinggi.

“Makanan haiwan pun kita ada potensi untuk hasilkan sendiri secara besar-besaran yang mana mungkin sebahagian bahannya sahaja perlu diimport, jadi tak perlu bergantung 100 peratus kepada import.

“Namun, yang penting adalah kita dapat mengeluarkan produk melalui sumber asli yang hampir sama kualiti dengan pasaran import, tetapi dengan harga lebih murah dan mampu dibeli. Itu juga salah satu untuk kurangkan inflasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baru-baru ini media melaporkan, nasib ringgit terus lemah dengan aliran penurunan berbanding dolar AS pada akhir urus niaga Isnin lalu, mencecah paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Prestasi nilai ringgit pada petang itu susut ke paras 4.6030/6045 berbanding dolar AS daripada 4.5775/5800 pada akhir Jumaat lepas.

Sementara itu, penasihat utama badan pemikir Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun berpendapat, nilai mata wang ringgit yang terus menurun berbanding dolar boleh menyebabkan pelabur asing terutamanya dari AS teragak-agak untuk melabur di negara ini.

Katanya, ini kerana mereka mungkin bimbang sekiranya pelaburan di negara ini mencatatkan kerugian atau tidak seperti yang diharapkan apabila mereka menukar semula ringgit yang diperoleh kepada dolar.

Sehubungan itu, katanya, situasi itu boleh menyebabkan pembangunan ekonomi yang lebih rendah untuk negara berikutan penurunan pelaburan asing kerana keadaan Malaysia yang banyak bergantung kepada pelaburan asing untuk pembangunan ekonominya.

“Sudah tentu nilai ringgit yang lebih rendah adalah bagus untuk pasaran eksport kerana pembeli asing akan lebih bersedia untuk membeli barangan dan perkhidmatan Malaysia yang kini lebih murah.

“Tetapi persoalannya adakah kita sebenarnya mempunyai kapasiti dan kesanggupan untuk mengeksport lebih banyak lagi, dengan kebimbangan terhadap tahap kemahiran pekerja tempatan kita, dan kesukaran mendapatkan pekerja asing di sini?,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula menjelaskan, negara harus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan memperkasakan barangan domestik dan turut meningkatkan strategi pemasaran eksport.

“Implikasi negatif nilai ringgit melemah berbanding dolar AS adalah barangan import menjadi lebih mahal. Ini boleh menyebabkan barangan import yang dijual di pasaran tempatan menjadi mahal.

“Malah, komponen yang diimport dan digunakan untuk menghasilkan barangan domestik seperti makanan ayam yang diimport akan menyebabkan harga ayam mahal. Itu sebab harga makanan kekal tinggi kerana kita adalah pengimport bersih makanan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×