PETALING JAYA: Harga seekor harimau Malaya di pasaran gelap boleh mencecah sehingga RM600,000 kerana setiap organ haiwan berkenaan dipercayai mempunyai keistimewaan tersendiri.
Kebanyakan harimau Malaya diburu dan setiap organ bahagian dijual pada harga yang tinggi untuk ubat tradisional Asia yang mana bukan sahaja kulitnya tetapi daripada misai hingga ekor boleh didapati di pasaran gelap.
Penggunaan bahagian haiwan eksotik dan liar seperti tenggiling, beruang dan harimau dalam perubatan tradisional Asia berdasarkan kepercayaan ia mempunyai khasiat menyembuhkan penyakit atau memberi kuasa istimewa kepada pemilik atau pengguna.
Sindiket perdagangan produk hidupan liar secara haram di negara ini menjana pendapatan berbilion ringgit setiap tahun dan kegiatan itu adalah perdagangan haram keempat paling menguntungkan.
Menurut Transparency International ketika ini, perdagangan haram yang menduduki tiga tangga teratas di Malaysia ialah rokok, dadah dan produk cetak rompak.
Jenayah hidupan liar selalunya sangat teratur, canggih, dan meluas sekali gus menyebabkan usaha membanteras kegiatan itu sangat rumit dan memerlukan pengumpulan risikan dan penguatkuasaan undang-undang di pelbagai peringkat.
Antara faktor utama utama hidupan liar ini diburu ialah di pasaran gelap dan permintaannya juga agak tinggi.
Bagi gading gajah pula, ia dijual pada sekitar RM5,566 sekilogram, tanduk badak sumbu dijual pada harga kira-kira RM299,000 sekilogram dan harga sisik tenggiling mampu mencecah sehingga RM13,000 sekilogram.
Antara haiwan yang sangat dicari oleh pemburu haram di Malaysia adalah harimau belang, babi hutan, tenggiling, beruang, gajah, rusa sambar, kijang, kancil, ular sawa dan landak serta beberapa spesies burung yang jarang ditemui.
Pengarah Konservasi Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Dr. Henry Chan berkata, kebanyakan binatang yang diburu dan bahagian-bahagiannya dijual untuk harga yang tinggi dan sebagai ubat tradisional Asia.
“Setiap bahagian harimau, bukan sahaja kulitnya, tetapi daripada misai hingga ekornya boleh didapati di pasaran gelap. Terdapat juga kes-kes di mana gajah diburu untuk gadingnya oleh individu-individu yang datang dari Kalimantan, Indonesia.
“Gading-gading ini digunakan dalam pembuatan produk hiasan kerana nilai estetiknya. Contohnya kunci piano, paip rokok, barang hiasan atau barangan keagamaan dan barang hiasan. Beruang matahari pula diburu untuk hempedu yang dianggap jadi ubat,” katanya.
“Tenggiling pula diburu untuk sisiknya, rusa sambar diburu untuk daging dan ular sawa juga diburu untuk mendapatkan kulitnya kerana permintaan yang tinggi bagi pasaran Eropah setiap tahun.
“Penggunaan bahagian haiwan eksotik dan liar seperti tenggiling, beruang dan harimau dalam perubatan tradisional Asia adalah berdasarkan kepercayaan bahawa ia mempunyai khasiat yang boleh menyembuhkan penyakit atau memberi kuasa istimewa kepada pemilik atau pengguna,” katanya.
Menurut Henry, bagi membanteras aktiviti pemburuan hidupan liar di Malaysia, WWF Malaysia mengalu-alukan tindakan strategik yang telah dikenal pasti dan dilaksanakan untuk mengukuhkan pemuliharaan hidupan liar.
Katanya, antara tindakan itu ialah menambah jumlah kakitangan untuk menjalankan rondaan di habitat harimau bagi membendung pemburuan haram dan pada masa ini, dua inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan.
“Pertama menerusi Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) di mana Orang Asli dan bekas tentera menjadi peronda di kawasan dan taman perlindungan dan kedua, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang diterajui oleh agensi berkaitan seperti Perhilitan dan PDRM,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu melakukan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 supaya hukuman yang lebih berat dikenakan bagi pemburu spesies yang dilindungi sepenuhnya, seperti harimau belang.- UTUSAN










