‘Beri ruang pelakon baru tonjol kemampuan’ - Utusan Malaysia

‘Beri ruang pelakon baru tonjol kemampuan’

AMAR tidak menolak untuk bekerjasama dengan pelakon baharu asalkan mereka berdisiplin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sedekad menempa nama dalam industri hiburan, Amar Baharin mengharapkan sentiasa dipertemukan dengan naskhah terbaik untuk memastikan dirinya terus kekal relevan.

Akur semakin selektif dalam memilih karya, Amar berkata, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum dia bersetuju menjayakan sesebuah naskhah.

Justeru, kata Amar, dia teliti dalam pemilihan sesuatu watak, malah sinopsis sesebuah karya juga menjadi titik permulaan penting sebelum dia mengambil langkah seterusnya.

“Apabila membaca sinopsis dan mendapati keseluruhan jalan ceritanya menarik dan boleh pergi, baru saya memutuskan untuk teruskan.

“Bagaimana mahu bekerja dengan penggambaran yang memakan masa sehingga tiga bulan jika hati tiada untuk naskhah tersebut,” katanya.

Amar berkata, pelakon yang bakal digandingkan juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan keserasian ketika di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, bapa kepada sepasang cahaya mata ini berkata, dia tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa saja kerana akur, tidak mempunyai hak menentukan pelakon gandingan.

“Saya sangat mementingkan karakter dan bersyukur jika pelakon gandingan ‘memberi’. Saya juga tidak menolak jika digandingkan dengan pelakon baharu.

“Ini peluang mereka untuk ketengahkan bakat. Asalkan disiplin dan kelakuan okey, saya tiada masalah,” tuturnya.

Tambahnya lagi, pelakon baharu seeloknya digandingkan dengan ‘orang lama’ supaya bakat lakonan mereka dapat diasah dengan lebih berkesan.

Secara tidak langsung, mereka juga dapat memperoleh ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam naskhah akan datang.

“Beri peluang kepada mereka untuk ketengah bakat. Kadangkala, mereka juga teringin bergandingan dengan pelakon senior untuk mendapat pengalaman baharu.

“Saya pula suka berlakon dengan orang lama dalam industri. Dari situ, saya dapat ilmu untuk menambah baik mutu lakonan bagi projek seterusnya,” kongsinya.

‘Karakter tiada limit’

Sedar semakin meningkat usia dan telah berumah tangga, namun itu bukan penghalang untuk dia memegang watak hero.

Jelas suami kepada pelakon dan pengacara terkenal, Amyra Rosli ini, dia menyifatkan kedatangan hero muda sebagai persaingan yang sihat.

“Rata-rata yang masuk ke industri hiburan, semua akan melalui zaman ini. Sekarang saya sudah tergolong dalam kalangan hero matang.

“Tetapi, apa yang menarik dalam dunia lakonan, karakter lebih penting berbanding usia,” ujarnya.

Percaya kepada rezeki, Amar berkata, dunia lakonan tiada batas dan had umur untuk memegang sesuatu watak asalkan bersesuaian.

“Jika naskhah itu memerlukan pelakon yang matang atau berpengalaman, takkan penerbit mahu mengambil pelakon muda pula. Bagi saya, karakter dalam sesebuah drama tiada limit,” tuturnya panjang.

Dikritik, dikutuk? Ambil sebagai positif

Memulakan karier seni menerusi program pencarian bakat, Anak Wayang 2009, berbekalkan disiplin dan sikap adalah faktor utama bintang ini sentiasa ‘dibanjiri’ tawaran.

Kongsi pelakon drama Biarkan Ia Pergi ini, segala kritikan dan komen yang kurang menyenangkan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk menambah baik mutu lakonan.

“Pejam celik, sudah 13 tahun saya dalam industri. Ia sudah menjadi darah daging dan sumber pendapatan. Apabila baru berlakon, tidak dinafikan kita akan dikritik.

“Namun, kritikan itu membuatkan kita menjadi lebih baik. Ambil perkara itu dari sudut positif. Sikap kita juga menentukan sama ada kita akan bertahan lama atau sebaliknya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×