LIPIS: Kejadian cubaan culik seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Landak di sini Ahad lalu menggemparkan masyarakat di situ kerana belum pernah terjadi kejadian seperti itu di kawasan terpencil tersebut.
Bapa murid terbabit, Zuki Ishak, 49, berkata, dia terkejut apabila diberitahu anak bongsunya, Mohd. Faris Firdaus, 11, tentang kejadian itu yang berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah selepas bermain bola sepak lewat petang.
“Anak saya memberitahu ketika dia dan rakannya melalui jalan keluar kira-kira 300 meter dari sekolah, tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari arah simpang sebuah bukit berdekatan dipandu perlahan dan seseorang yang dipercayai pemandu menyambar tangannya lalu cuba menarik masuk ke kereta.
“Anak saya mulai gelabah, tetapi mujurlah, rakannya yang berusia 12 tahun sempat membantu cuba melepaskannya daripada pegangan tangan lelaki itu sebelum terlucut sehingga mereka jatuh terguling ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Landak, di sini semalam.
Menurut Zuki, jarak dari rumahnya ke sekolah cuma 500 meter dan lazimnya anaknya menghabiskan masa bermain bola sepak bersama rakannya pada sebelah petang.
Katanya, laluan di tempat kejadian itu di kiri kanan ditumbuhi semak samun dan keadaan di situ sunyi terutama waktu petang dan hampir malam.
Tambahnya, dia membuat andaian lelaki berkereta merah kemungkinan sudah membuat intipan mengenai aktiviti kanak-kanak pada sebelah petang dan tahu lokasi tertentu untuk memerangkap mereka.
“Saya bersyukur dan berasa lega kerana anak saya tidak trauma dan hadir ke sekolah seperti biasa. Sejak kejadian itu juga, saya mula menghantar dan mengambil anak dari sekolah,” katanya.
Ibu Mohd. Faris Firdaus, Noraini Abd. Gapar, 44, berkata, dia juga bersyukur anaknya selamat daripada kejadian culik itu tetapi pada mulanya berasa was-was dan kurang percaya dengan cerita anak bongsunya.
“Setibanya di rumah, anak saya terus memeluk saya sambil bercerita tentang ada orang menaiki kereta merah menarik tangannya. Cerita anak saya lagi, rupa orang yang menarik tangannya berjambang,” katanya.
Kata Noraini, pada mulanya dia tidak percaya cerita anaknya itu, tetapi tak beberapa lama dia pula menerima panggilan telefon daripada jiranya yang merupakan seorang nenek rakan anaknya bertanyakan keadaan anaknya sudah tiba di rumah atau belum.
“Jirannya juga menceritakan perkara sama yang cucunya telah membantu anaknya ketika cuba ditangkap dan dibawa masuk ke dalam kereta oleh seorang lelaki. Baharulah saya dan suami percaya yang kejadian ini benar berlaku,” katanya.
Jirannya, Zainah Mohd. Ramli, 59, berkata, cucunya, Fazli Safiq Mohd. Fazrul, 12, apabila tiba di rumah hampir Maghrib meluru ke arahnya memberitahu dalam keadaan menggigil ketakutan memberitahu ada orang berkereta merah cuba menarik tangan rakannya.
“Cerita cucu saya, dia sempat menolong menarik rakannya sehingga terlepas dari genggaman lelaki yang bercermin mata di dalam kereta berkenaan.
“Selepas gagal, kereta berkenaan memecut laju keluar ke arah jalan besar dan kami kemudiannya menghubungi ketua kampung dan menasihatkan supaya membuat aduan kepada polis,” katanya.
Ujarnya, kejadian itu benar-benar membimbangkan khususnya ibu bapa terhadap keselamatan anak pergi dan balik dari sekolah dan diharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor mengesahkan telah meneriema laporan tentang kejadian tersebut dan disiasat di bawah Seksyen 363/511 Akta Kanun Keseksaan. – UTUSAN











