BARU-BARU ini, saya berpeluang menemu bual Pengasas dan Presiden Pusat Kajian Keamanan dan Rekonsiliasi, Profesor Dr. Mehmet Sukru Guzel yang berpangkalan di Geneva, Switzerland. Saya cukup tertarik dengan kepakaran beliau mengenai isu-isu antarabangsa terutama di wilayah yang jarang diperkatakan seperti Afghanistan dan Kashmir. Kebanyakan daripada kita sekadar tahu daripada kulitnya tetapi tidak isinya.
Menurut kajian Mehmet, Amerika Syarikat (AS) dikatakan telah membekukan sebanyak AS$7 bilion rizab Bank Pusat Afghanistan yang kini disimpan dalam akaun bank AS, menghalang pentadbiran Taliban daripada mengaksesnya selepas menguasai Kabul pada 2021 dengan Perintah Eksekutif Presiden 14064.
“Dana Bank Pusat Afghanistan telah dibekukan oleh AS sedangkan status kerajaan de facto Taliban di Afghanistan tidak mengubah sekatan yang dikenakan ke atas Taliban oleh Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNSC 1267 mengenai aset undang-undang kerajaan Afghanistan yang diiktiraf.
“Kerajaan AS mempunyai kewajipan untuk membekukan dana pada hari Taliban menguasai Kabul dan menjadi kerajaan de facto,” jelas Mehmet.
Untuk membekukan dana yang boleh digunakan bagi faedah Taliban adalah berbeza daripada menuntut pemilikan dana dibekukan yang tertakluk kepada Perkara 4 (b) Resolusi UNSC 1267. Penggunaan aset dan dana PBB mengiktiraf kerajaan Afghanistan yang dibekukan oleh AS hanya boleh dilakukan dengan kebenaran Jawatankuasa UNSC 1267 terhadap kes demi kes berdasarkan keperluan kemanusiaan di Afghanistan terutama apabila sejuta kanak-kanak berisiko kelaparan.
Ini jelas tindakan antarabangsa AS yang salah dengan melaksanakan Perintah Eksekutif Presiden 14064 terhadap Resolusi UNSC 1267 dengan menggunakan AS$3.5 bilion untuk membiayai pembayaran yang difailkan kepada pihak mangsa keganasan AS. Perintah Eksekutif Presiden 14064 adalah terbatal dan tidak sah tertakluk kepada Artikel 103 Piagam PBB.
Kashmir merupakan sebuah wilayah di Himalaya dengan kaum dan etnik berbeza. Wilayah ini meliputi sekitar 222,738 kilometer persegi dan terkenal dengan keindahan tasik, padang rumput dan gunung-ganang dilitupi salji.
“Pada Ogos 1947, India dan Pakistan berpisah di bawah skim pembahagian yang disediakan oleh Akta Kemerdekaan India 1947. Namun maharaja (pemerintah tempatan) Kashmir waktu itu, Hari Singh sebenarnya menginginkan Kashmir untuk merdeka.
“Akan tetapi pada Oktober 1947 memilih untuk menyertai India sebagai balasan atas bantuan India menentang pencerobohan Pakistan. Penyertaan ke India tersebut menjadi pertikaian antara kedua-dua negara sehingga pertempuran meletus pada akhir tahun tersebut,” tambahnya.
Penulis kepada enam buah buku dan pelbagai risalah akademik ini menerima ijazah kedoktoran di Azerbaijan. Sehingga hari ini, beliau diberi tanggungjawab sebagai penasihat kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kemanusiaan di seluruh dunia.
Menurutnya lagi, setelah perang Pakistan dan India meletus, akhirnya kerajaan India memohon campur tangan PBB. PBB mengesyorkan plebiscite (pungutan suara) bagi menyelesaikan persoalan sama ada Kashmir perlu menyertai India atau Pakistan.
“Bagaimanapun, kedua-dua negara ini tidak dapat bersetuju dengan perjanjian tersebut kerana menolak untuk mengeluarkan tentera-tentera mereka yang sudah berpangkalan di sana.
Pada Julai 1949, India dan Pakistan menandatangani perjanjian gencatan senjata seperti disyorkan oleh PBB sekali gus menjadikan rantau itu berpecah,
“Perang kedua berlaku pada 1965. Pada 1999, India bertempur dalam konflik yang singkat, namun sukar kerana berhadapan pasukan tentera yang disokong Pakistan,” katanya.
NOBEL
Mehmet pernah dicalonkan sebanyak empat kali bagi Hadiah Keamanan Nobel. Menariknya, pencalonan kedua tersebut atas kejayaannya menyelesaikan masalah kerakyatan golongan minoriti di Myanmar termasuk etnik Rohingya mengikut proses dekolonisasi.
Beliau turut dicalonkan oleh Menteri Luar Negeri Hawaii, Leon Kaulahao Siu untuk Hadiah Keamanan Nobel atas usahanya menjayakan perdamaian dalam konflik Papua Barat mengikut sistem perundangan PBB.
Pencalonan terakhir Hadiah Keamanan Nobel untuk 2023 pula atas cadangannya untuk membawa undang-undang sebagai jalan penyelesaian konflik pertikaian Kashmir yang sedang berlangsung antara India dan Pakistan mengikut Piagam PBB.
“Hari ini, Delhi dan Islamabad, kedua-duanya menuntut Kashmir sepenuhnya tetapi hanya mengawal sebahagian daripadanya – wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai ‘Kashmir yang ditadbir India’ dan ‘Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan’,” ujarnya.
Semua negara mempunyai tanggungjawab bersama ke atas dekolonisasi ini. Mengenai pembunuhan beramai-ramai, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk mencegah dan mengambil tindakan ke atas penjenayah-penjenayah terbabit, Itulah sebabnya Gambia berjaya membawa isu pembunuhan beramai-ramai Myanmar ke atas etnik Rohignya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kashmir adalah proses dekolonisasi yang belum selesai. Dan Majlis Keselamatan PBB mempunyai tanggungjawab yang lebih kuat berbanding negara pentadbir, India dan Pakistan seperti tertulis dalam Piagam PBB.
“Sehingga hari ini, India mahupun Pakistan tidak pernah tahu bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat tahunan kepada Setiausaha Agung PBB, juga tertakluk kepada Piagam PBB Perkara 73(e),” katanya.
Menurut Mehmet, setakat hari ini, mana-mana negara termasuk Malaysia boleh meminta mesyuarat khas daripada Majlis Keselamatan PBB untuk Kashmir memenuhi kewajipannya bertindak berdasarkan Piagam PBB bagi mendapatkan maklumat secara tetap daripada India dan Pakistan, tertakluk kepada Perkara 73(e) kepada Setiausaha Agung PBB.
“Dengan ini, Jawatankuasa Dekolonisasi PBB akan terlibat dengan pertikaian Kashmir dan ini boleh menjadi mekanisme pencegahan konflik sangat penting antara India dan Pakistan.
Perang baharu akan dihalang antara India dan Pakistan,” katanya mengakhiri perbualan. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










