KEINDAHAN Masjid Albukhary di Alor Setar, Kedah nyata tidak dapat diungkap dengan mata terutama dengan seni bina yang diinspirasikan daripada masjid terkemuka dari seluruh dunia.
Begitu juga dengan sejarah masjid berkenaan yang asalnya adalah Masjid Alor Malai dan dibina pada 1956 oleh kariahnya, juga ada keunikan.
Keistimewaan Masjid Albukhary yang ikonik itu kini berlangsung dengan pembukaan galeri masjid yang pertama seumpamanya di negeri ini.
Ia sejajar dengan pengisytiharannya sebagai Masjid Pelancongan di samping Masjid Zahir dalam Persidangan Imam-imam Kebangsaan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2019.
Ciri-ciri berkenaan menjadikan Masjid Albukhary sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri ini setanding masjid pelancongan terkemuka lain di ibu kota.
Usaha membangunkan Galeri Masjid Albukhary bermula pada 2019. Ia dijayakan dengan kerjasama antara ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan dan Yayasan Albukhary yang dimiliki dermawan dan tokoh konglomerat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Galeri Masjid Albukhary yang dibuka secara rasmi pada 24 Disember lepas adalah segalanya bagi pengunjung untuk mengetahui mengenai sejarah, seni bina, dan maklumat masjid berkenaan bermula daripada pembinaan Masjid Alor Malai.
Selain tiga sudut itu, turut dipamerkan replika asal model masjid berusia 20 tahun yang digunakan untuk pembinaan masjid berkenaan.
Sudut seni bina Galeri Masjid Albukhary antaranya, mempamerkan tentang enam keunikan dan keindahan masjid berkenaan yang mempunyai tujuh kubah dengan sebuah kubah utama terletak tengah-tengah ruang solat dengan saiz 14 meter garis pusat.
Sememangnya keindahan seni bina itu menyerlah dengan permukaan luarnya dihiasi corak dekoratif daripada kepingan jubin berukuran 24×25 milimeter.
Sementara sekelilingnya dihiasi dengan ayat suci al-Quran daripada surah al-Hadid ayat 1 hingga 8 dan dalamannya pula 99 nama Allah, Asma Ul-Husna dengan tulisan kaligrafik kufik.
Di bawah kubah utama terdapat empat kubah separa bulat yang diletakkan pada empat penjuru bahagian bawah kubah utama dan setiap bahagian dalam kubah tertera surah empat Qul iaitu Al-Kafirun, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.
Hiasan motif kubah ini direka khas mengikut kubah Masjid Shah ketika kerajaan Safavid di Isfahan, Iran.
Keistimewaan lain, reka bentuk menara masjid yang berdasarkan seni bina menara Masjid Nabawi di Madinah dengan ketinggian 47.92 meter dari paras tanah.
Turut dipamerkan ciri lain Masjid Albukhary ialah seni reka mimbarnya yang diperbuat daripada kayu jenis Burma Teak dan senibinanya diadaptasi daripada replika mimbar di Masjid Qiblatan Madinah dan mimbar Mamluk di Masjid Qaitbay Kaherah di Mesir.
MASJID PELANCONGAN PERTAMA KEDAH
Menurut Imam Masjid Albukhary, Mohmad Nasrudin Ismail, yang merupakan imam kelima masjid berkenaan sejak Masjid Alor Malai, kewujudan galeri itu akan memberi nilai tambah kepada Masjid Albukhary sebagai Masjid Pelancongan pertama di Kedah.
Walaupun Masjid Albukhary terkenal namun proses pengumpulan maklumat data, kata Mohmad Nasrudin, agak mencabar.
“Antara yang mencabar kami AJK terpaksa melawat beberapa galeri masjid lain di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang untuk mendapatkan gambaran apakah bahan yang sesuai untuk dipamerkan.
“Seterusnya kami harus mengumpul maklumat awal Masjid Alor Malai termasuk imam-imamnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya berhasrat untuk mengadakan khidmat pemandu pelancong di masjid berkenaan untuk memastikan pengunjung mendapat maklumat berkaitan masjid dan Islam.
“Ketika ini Galeri Masjid Albukhary hanya dibuka mengikut permintaan kerana pandemik Covid-19. Selepas keadaan pulih kita akan membuka sepenuhnya kepada orang awam,” katanya.
Bukan sekadar pameran galeri katanya, ia diharapkan menjadi wadah dakwah kepada pengunjung.
Masjid Albukhary merupakan bangunan paksi dalam pembangunan Kompleks Albukhary meliputi kawasan seluas dua hektar iaitu 25 peratus daripada keseluruhan pembangunan kawasan itu.
Masjid Albukhary mula dibina pada awal Mac 2000 dan siap sepenuhnya pada November 2001.
Perasmian masjid berkenaan disempurnakan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada 22 November 2001.
Selaras dengan konsep masjid sebagai pusat ibadah pembangunan dan perkembangan ummah Masjid Albukhary dilengkapi dengan kemudahan ruang sembahyang yang dapat menampung lebih 15,000 jemaah, lapan bilik pengajian, lima bilik wuduk lelaki dan wanita, bilik pengurusan jenazah, pejabat imam, bilik mesyuarat dan kemudahan yang mesra orang kurang upaya (OKU).










