PETALING JAYA: Malaysia dijangka mempunyai 200,000 pesakit demensia atau nyanyuk pada 2030 dan angka itu dijangka terus meningkat 312 peratus atau sehingga lebih 600,000 pesakit pada 2050.
Susulan peningkatan ketara pesakit tersebut, Malaysia memerlukan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP) khas untuk mengurus dan melindungi hak golongan tersebut agar mereka tidak seperti ‘terbiar’ sehingga hayat berakhir begitu sahaja.
Ia berbeza dengan negara-negara lain seperti Singapura, Jepun, Indonesia dan Taiwan yang sudah lama mempunyai pelan khas menguruskan golongan demensia secara sistematik kerana kumpulan tersebut tiada upaya menguruskan diri sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan dan Geriatrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr. Ungku Ahmad Ameen Ungku Mohd. Zam berkata, melihat jumlah pesakit nyanyuk dan diramal terus meningkat, negara wajar segera mewujudkan NDAP.
Menurut beliau, ekoran ketiadaan pelan lengkap itu mengakibatkan pengurusan pesakit demensia dalam negara tidak sistematik dan pesakit tidak mendapat pemerhatian khusus sama ada dari segi rawatan atau membantu kumpulan itu menempuh kehidupan.
JEJAK
“Sudah tiba masa, Malaysia mengikut jejak negara-negara seperti Singapura, Jepun, Indonesia dan Taiwan mewujudkan pelan khusus menangani pesakit nyanyuk.
“Tidak wajar membiarkan golongan pesakit tersebut seperti terabai dan seolah-olah tiada diambil tahu kecuali ahli keluarga pesakit,” kata beliau.
Kata Dr. Ungku Ahmad Ameen, ketika ini pesakit nyanyuk hanya diberi rawatan perubatan dan terapi sikap di hospital, namun tidak melibatkan lingkungan kehidupan pesakit dan peranan seluruh komuniti.
Oleh itu, beliau yang juga Ketua Unit Geriatrik di HTAR menyifatkan, pelan tersebut turut memerlukan sistem komunikasi menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu pesakit demensia ketika berada di luar rumah.
“Sudah tiba masanya kita membangunkan pelan tindakan melibatkan kesemua pemegang taruh yang pakar untuk meningkatkan kesedaran, pendidikan, rawatan dan penjagaan geriatrik termasuklah membasmi stigma tentang demensia.
“Di Taiwan, apa yang dilakukan jika ada individu nyanyuk atau tersilap menaiki bas awam, pemandu bas akan membawa pesakit itu kepada polis dan polis akan menghantar pesakit itu kepada ahli keluarganya.
“Ini contoh kerjasama masyarakat dan agensi kerajaan dalam menguruskan pesakit demensia dan ia akan menjadi lebih efektif dengan penggunaaan teknologi,” katanya.
MENCADANGKAN
Dalam perkembangan lain, kata Dr. Ungku Ahmad Ameen, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan memperuntukkan undang-undang khas yang membolehkan lesen memandu pesakit demensia ditarik kerana dikhuatiri membawa bahaya kepada orang lain.
“Kita semua maklum, pesakit demensia mungkin mengalami kesukaran mengendalikan kenderaan atau hilang arah semasa memandu dan ini mungkin menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Kebanyakan negara barat sudah ada undang-undang khusus untuk demensia, namun kita belum lagi peraturan seperti itu. Hanya anak-anak yang melarang ibu atau bapa mereka memandu kereta tetapi mungkin tidak semua daripada mereka akan mematuhinya
Katanya lagi, hal ehwal pengurusan pesakit demensia di peringkat hospital tidak berdepan masalah kerana pegawai perubatan mempunyai garis panduan tertentu atau protokol untuk golongan nyanyuk berkenaan.
“Namun, menjadi masalah apabila pesakit ini tidak mampu mengurus diri sendiri atau sampai satu tahap memerlukan bantuan keluarga. Paling penting sekarang ialah bagaimana cara supaya golongan ini boleh duduk dalam komuniti dengan selamat dan diurus dengan baik,” katanya. – UTUSAN










