PUTRAJAYA: Malaysia berisiko rugi berbilion ringgit jika kerajaan tidak serius menangani isu keselamatan siber dan tidak mengawal kegiatan penggodaman sistem pendigitalan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ini kerana, ketika ini negara tidak ada satu akta menyeluruh berhubung keselamatan siber.
Beliau berkata, negara hanya bergantung kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Jenayah Komputer 1997 di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau jenayah penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga hanya mempunyai Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang tidak ada punca kuasa tentang isu keselamatan siber dan agensi pusat itu tidak boleh disalahkan jika berlaku kebocoran data.
Tambah beliau, ketiadaan punca kuasa yang jelas melalui penubuhan satu entiti yang ditakuti semua pembina sistem digital melalui sebuah suruhanjaya selain tidak ada satu akta dalam tadbir urus keselamatan siber, terus membuka ruang hacktivist (kumpulan penggodam) membuat serangan tanpa boleh dikenakan tindakan.
“Sehubungan itu, penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber adalah perkara mendesak sebagai badan mengawal selia keselamatan siber yang dijelaskan dengan akta, kuasa dan peruntukan mencukupi supaya pentadbirannya tidak merugikan, bahkan memberi keselamatan kepada semua pihak khususnya kerajaan ke arah sistem digitalisasi,” katanya di sini semalam.
Kajian Microsoft dan firma perunding Amerika Syarikat, Frost & Sullivan sebelum ini mendedahkan kerugian ekonomi di Malaysia berkaitan keselamatan siber mencecah RM49.3 bilion, iaitu empat peratus daripada RM1.19 trilion jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Kajian itu turut mendedahkan organisasi besar negara ini boleh menanggung kerugian RM104.4 juta, 630 kali lebih tinggi berbanding syarikat biasa.
Ia hasil penyelidikan membabitkan 1,300 syarikat yang mempunyai sistem teknologi maklumat daripada pelbagai saiz perniagaan melibatkan urusniaga kewangan, potensi perniagaan ekoran reputasi negatif dan penurunan perbelanjaan semasa.
Siraj berkata, kes terbaharu melibatkan penggodaman gray hat menceroboh Sistem Penyata Gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam, membuktikan wujud kelemahan kawalan apabila isu seumpama ini berulang.
Disebabkan kekangan itu, katanya, organisasi atau individu tidak tahu ke mana arah untuk membuat laporan jika mereka ditipu dan berlaku kehilangan duit menerusi maya, malah lebih malang duit yang hilang itu tidak dapat semula.
Katanya, akta-akta sedia ada ini yang dipecahkan kuasa akhirnya menyusahkan biarpun ia satu keperluan kepada satu akta menyeluruh sebagai satu garis panduan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan digital mendapat kelulusan di bawah akta ini yang perlu bertanggungjawab jika berlaku apa-apa insiden keselamatan siber dan boleh dituduh di mahkamah.
“Suruhanjaya dan akta keselamatan siber ini boleh mencetuskan ketakutan supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil ringan. Contoh kalau bank langgar prosedur, dia tak nak tanggungjawab jika berlaku kehilangan duit pendeposit. Tetapi melalui akta ini bank kena akur dan kena bertanggungjawab penuh kalau duit pendeposit hilang atas kelemahan sistem mereka,” jelasnya. – UTUSAN










