Ralit melihat kepingan gambar dekorasi Hello Kitty di rumah wanita ini. Serius, tak sangka rupanya memang wujud rupanya peminat tegar karakter kucing comel yang berasal dari Sanrio, Jepun ini.
Masakan tidak, hampir 100 peratus dekorasi kediaman wanita ini dipenuhi dengan karakter Hello Kitty. Setiap inci sudut dan ruang rumah ini dilengkapi dengan barangan Hello Kitty, baik di dapur, ruang tamu, meja belajar, bilik air, bilik tidur dan sebagainya.
Pemiliknya, Hamidah Abdul Rahim, 51, berkata, minat mendalam terhadap Hello Kitty mendorongnya mengubah suai rumah pusaka usang kepada kediaman fantasi yang menjadi idamannya.
Keseluruhan rumah kayu yang terletak di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak itu bukan sahaja dicat dengan warna merah jambu, malah hiasan dalamannya juga turut menggunakan tema sama.
Dekorasi watak kartun popular itu sememangnya menjadi tarikan utama sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah merah jambu berkenaan.
“Saya memang ‘menggilai’ semua perkara berkaitan dengan warna merah jambu dan kucing, jadi watak Hello Kitty seperti gabungan keduanya. Seiap bahagian dalam rumah itu turut dipenuhi dengan barangan atau elemen Hello Kitty.
“Di ruang tamu misalnya, saya memilih gabungan cat rona merah jambu dan putih manakala sofa, bantal kusyen sementara bilik tidur tetamu pula berwarna merah jambu,” katanya kepada Seri.
Hamidah menjadikan rumah pusaka berusia lebih 100 tahun itu antara tarikan menarik jika berkunjung ke Kuala Kangsar.
Ia bukan sahaja memberikan kelainan tetapi dapat menambahkan lagi keceriaan pada rumah pusaka itu.
Proses ubah suai rumah terbabit dilakukan secara berperingkat sejak lebih tiga tahun lalu.
Daripada rumah kayu dua tingkat sepenuhnya, ia ditukar kepada rumah separa batu.
“Bagi memberi keselesaan kepada keluarga saya, dua bilik tambahan turut dibina menjadikan kediaman dua tingkat ini, kini mempunyai empat bilik tidur,” ujarnya.
Sebagai peminat Hello Kitty yang tulen, Hamidah mengakui harga untuk memiliki barangan tersebut mahal kerana kebanyakan koleksinya memiliki cop asli Hello Kitty yang diimport dari Korea, Jepun dan China.
“Cabarannya tentulah daripada aspek harga. Barang yang ada cop Hello Kitty automatik mahal. Sepanjang mengumpul koleksi ini, saya sudah menghabiskan lebih RM20,000. Namun kos bukan halangan kerana memiliki koleksi ini merupakan kepuasan kepada saya,” katanya.
Ubah suai rumah pusaka
Hamidah yang memang mengumpul koleksi Hello Kitty memulakan kerja ubah suai rumah pusaka itu sejak 2015. Selepas pencen, Hamidah mengambil keputusan berpindah balik ke Kuala Kangsar awal tahun ini.
Menurut Hamidah lagi, dia tinggal berdua dengan suaminya, Rino Sultan kerana dua anak mereka masing-masing sudah berkeluarga.
Mengakui, bersyukur kerana suami dan anak-anaknya bukan sahaja tidak membantah minatnya itu malah turut membantu membelikan barangan hiasan yang dimahukan.
Menurut Hamidah, di dalam rumahnya itu, dia turut menempatkan 10 rumah kecil perkampungan setiap keluarga Hello Kitty.
“Saya sediakan juga salasilah nama setiap keluarga Hello Kitty. Ia membolehkan pengunjung mengetahui sejarah dan asal usul watak kartun ini,” katanya.
Untuk menambahkan lagi keceriaan rumah itu, Hamidah turut membina kincir angin, rumah burung, tempat swafoto, ruang kunci cinta dan menanam pelbagai jenis pokok bunga.
Dalam pada itu, Hamidah turut menjual pelbagai aksesori Hello Kitty termasuk tudung dan baju ala kimono merah jambu untuk disewa pengunjung.
Lebih istimewa, Hamidah turut membuka kafe bertemakan Hello Kitty dengan menu utama mi bandung udang galah, mi kari, mi ketam, apam balik pelbagai perisa dan burger merah jambu.
Kata Hamidah, pengunjung boleh bergambar sepuas hati di dalam dan luar rumahnya.
“Sebelum pengunjung masuk, kami akan sanitasi seluruh ruang kediaman dan pemakaian pelitup hidung juga diwajibkan.
“Setakat ini, pengunjung yang datang masing-masing memahami dan menghormati peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Rumah Hello Kitty dibuka kepada umum setiap hari bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan had 10 pengunjung untuk setiap sesi selama 15 minit.










