KUALA LUMPUR: Persatuan Pemfaktoran Malaysia (MFA) menyediakan peruntukan berjumlah RM3 bilion pada tahun depan, sebahagian besarnya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengukuhkan perniagaan mereka.
Pengerusi MFA, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas (gambar) berkata, pihaknya sedia memperuntukan pembiayaan sehingga RM2 bilion bagi menyokong PKS untuk terus berdaya saing.
Katanya, jumlah tersebut dijangka mampu membiayai antara 2,000 hingga 2,500 PKS di negara ini yang memerlukan pembiayaan untuk melaksanakan pelbagai projek yang mereka perolehi.
“Jumlah RM2 bilion mungkin bukan satu nilai yang besar berbanding RM18 bilion, nilai bantuan sebenar yang diperlukan. Jumlah tersebut agak besar dan persoalannya, bagaimana kita dapat membantu mereka?
“Untuk itu, pihak kerajaan, MFA, bank dan perkhidmatan kewangan perlu bekerjasama membantu PKS,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-37 MFA di sini, semalam.
Sementara itu, Mohamed Fahmi berkata, walaupun MFA telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu PKS, namun masih terdapat banyak rintangan dan halangan sehingga menyukarkan usaha tersebut.
“Antara halangan itu ialah untuk berhubung dengan kontraktor kerajaan dan PKS. Jika ada sejuta PKS, belum tentu kami dapat berhubung dengan walaupun 500,000 PKS. Jadi, kami perlukan bantuan kerajaan untuk menghubungkan kami dengan kontraktor ini,” ujarnya.
Mengulas kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata, langkah tersebut adalah tindakan yang tidak baik kerana rakyat, syarikat dan ekonomi kini sudah berada dalam tekanan dengan kenaikan harga dan inflasi.
“Peningkatan OPR memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan syarikat-syarikat kecil kerana pinjaman secara automatik akan naik,” jelasnya.
Dalam pada itu, harapan beliau untuk Bajet 2023, kerajaan dapat membuat perbelanjaan yang lebih berhemah dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan syarikat-syarikat kecil. – UTUSAN










