KUALA NERUS: Pas menyatakan kesediaan berlawan dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya pemimpin tertinggi parti mengambil keputusan pakatan dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO berakhir.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jentera pilihan raya Pas sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bertempur dengan UMNO pada bila-bila masa.
Pada masa sama, menurutnya, parti itu juga telah biasa berhadapan dengan UMNO yang menjadi musuh sejak 60 tahun lalu.
“Bila masa pun kalau lawan UMNO, gerak tak dan (sebelum) Subuh, kita bangkit dah, kita tak tidur malam, kalau nak lawan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana Pra Himpunan Teguh Pertahan dan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Terengganu di Dataran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini malam tadi.
Majlis perasmian pelancaran tersebut dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Turut menyampaikan ceramah ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau mendapati sebelum ini pemimpin UMNO sering membuat kenyataan MN telah terkubur dan menuduh Pas kononnya masih mengharapkan kerjasama dalam pakatan tersebut.
Jelasnya, Pas berada dalam MN atas gagasan pemimpin Pas untuk perpaduan dan penyatuan ummah serta menyelamatkan kuasa politik orang Islam.
Sebaliknya menurut beliau, pemimpin UMNO didapati tidak berminat lagi menjalinkan kerjasama tersebut.
“Hampa (pemimpin UMNO) nak berkelahi sangat, hari-hari buat kenyataan MN telah kubur, Pas ni termonyeh-monyeh, Pas ni terhegeh-hegeh. Awat hang ingat aku lapar sangat kat hang?
“Kepada mereka kita nyatakan, hang nak kawan, hang mai, hang nak lawan, hang tunggu,” ujarnya. – UTUSAN










