PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.47 bilion dalam separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.
Menurut TH, kepercayaan dan sokongan kepada TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh di mana sepanjang enam bulan pertama, lebih 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, menjadikan keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.
“Pencapaian ini mencerminkan daya tahan TH walaupun berhadapan dengan kesan-kesan selepas pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia,” katanya dalam kenyataan
TH berkata, sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta, merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.
Tambahnya, pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta yang mencatatkan peningkatan RM41.27 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Pelaburan ekuiti pula menyumbang 15.27 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta.
“Setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, TH mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021,” katanya.
TH berkata, penurunan keuntungan setelah mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M sebanyak RM28,632 bagi setiap jemaah, berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540.
Kos haji bagi musim 1440H/2019M pula adalah sebanyak RM22,900 seorang. TH tidak menghantar jemaah dari Malaysia pada 2020 dan 2021, jelasnya.
“Perbelanjaan TH meningkat sebanyak RM134.42 juta pada separuh 2022 kepada RM437.30 juta pada Jun 2022 kerana Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH. Jumlah perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji dijangka akan meningkat kepada RM185.7 juta apabila musim haji 1443H/2022M tamat dalam suku ketiga nanti.
“Jika perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji tidak diambilkira, perbelanjaan operasi TH hanya meningkat 3.65 peratus berbanding perbelanjaan bagi tempoh sama tahun lalu, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan ancaman inflasi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pendekatan pelaburan yang mengutamakan keselamatan pulangan, mencerminkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan para pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka bagi memenuhi kewajipan Rukun Islam Kelima.
Kata beliau, TH sentiasa menghargai sokongan para pemegang taruh, terutamanya pendeposit.
“Melangkah ke hadapan, TH akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk para pendeposit.
“TH juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan TH dan pendepositnya,” kata beliau. – UTUSAN










