PETALING JAYA: Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) menyumbang sebanyak 320 peranti elektronik kepada masyarakat yang kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang bagi memastikan tiada golongan ketinggalan dalam dunia pendigitalan kini.
Didorong komitmennya untuk mengurangkan kesan negatif alam sekitar dengan cara yang akan memberi manfaat kepada orang lain, empat hospital RSDH iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan ParkCity, Pusat Perubatan Bukit Tinggi dan Pusat Perubatan Ara Damansara bergabung tenaga menggunakan semula komputer riba dan komputer mereka untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Inisiatif itu adalah antara pelbagai amalan mampan di bawah ‘RSD Cares’ yang telah diperjuangkan oleh Kumpulan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Peranti yang diperbaharui akan diedarkan kepada pelbagai kumpulan yang memerlukan di komuniti tempatan setiap hospital, termasuk Rumah Anak Yatim Ractar, Persatuan Kebajikan Wen Hua KL, Rumah Aman, Rumah Kebajikan Kanak-kanak Lighthouse, Rumah Perlindungan Kanak-kanak, Rumah Kegembiraan, Kelab Komputer Subang Perdana dan Yayasan Amal Budimas.
Selain itu, dua buah sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Tampin Linggi dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Regent turut menerima sumbangan sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Peter Hong berkata, Kumpulan sedang berusaha untuk memastikan langkah diambil memberi kesan positif kepada kakitangan, masyarakat dan alam sekitar.
“Ini penting untuk menjadikan ‘RSD Cares’ sebahagian daripada kejayaan kami sebagai syarikat dan penyedia penjagaan kesihatan. Dengan mengitar semula peranti ini, kami boleh menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar, sekali gus mengurangkan jejak karbon.
“Lebih-lebih lagi, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kami berharap inisiatif ini akan memberi manfaat secara langsung mereka yang tidak mampu membeli komputer kerana peranti sedemikian telah menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










