Rakyat terpaksa tanggung kos jika ringgit ditambat

Rakyat terpaksa tanggung kos jika ringgit ditambat

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah tersebut mempunyai risiko yang besar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sekiranya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara mata wang yang menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

Malah katanya, jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara tidak sama seperti di AS.

“Kita sudah tahu dasar kewangan AS bagi dan ke mana arah tujunya ketika ini. Sekiranya ringgit ditambat, rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi kita tidak sama dengan AS.

“Kadar inflasi kita lebih rendah daripada AS. Inflasi AS adalah pada sembilan hingga 10 peratus. Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita juga lebih kukuh.

“Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia di sini, semalam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak mahu melakukan tambatan ringgit kerana telah melihat impak yang dilalui oleh negara ketika negara berbuat demikian pada 1998.

“Kita perlu mempunyai kawalan modal untuk melakukan tambatan ringgit. Jika ia dilakukan ketika ini, negara akan kehilangan kebebasan untuk membuat keputusan dalam polisi kewangan,” ujarnya.

Mengulas dakwaan ekonomi Malaysia gagal, Tengku Zafrul berkata, kenyataan tersebut adalah tidak berasas kerana ekonomi negara menyaksikan pertumbuhan pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua dan lima peratus pada suku pertama.

“Selain itu, kadar pengangguran juga turun sebanyak 3.7 peratus bagi bulan Julai 2022 berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei 2020.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang meningkat sebanyak 12.5 peratus pada Julai 2022 berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah sebahagian daripada contoh dan nombor tidak menipu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×