Sektor kewangan perlu main peranan penting

Sektor kewangan perlu main peranan penting

JESSICA CHEW CHENG LIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan perlu memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi dan masyarakat untuk menangani risiko perubahan iklim yang mana risiko fizikal kini sudah berada dalam kehidupan harian dan semakin meningkat.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew Cheng Lian berkata, sebagai contohnya, perkara itu dapat dilihat melalui penularan penyakit seperti Covid-19 dan banjir teruk yang berlaku pada selang masa yang lebih pendek dan dengan intensiti yang lebih besar.

Katanya, risiko peralihan juga semakin meningkat dan dengan pengumuman sasaran sifar bersih, perubahan selanjutnya dalam dasar iklim tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, perubahan teknologi juga akan membawa kesan ekonomi dan kewangan yang penting untuk perniagaan dan mereka yang membiayainya.

“Terdapat dua perspektif yang sektor kewangan boleh membantu iaitu, kami mengharapkan institusi kewangan memahami cara pemacu risiko berkaitan iklim boleh memberi kesan kepada pendedahan risiko mereka termasuk risiko kredit, pasaran dan insurans daripada aktiviti pinjaman, pengunderaitan dan pelaburan mereka.

“Kami mengharapkan institusi kewangan dapat mengenal pasti, mengukur dan mengurus risiko ini dengan baik,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia di sini, hari ini.

Sementara itu, Jessica berkata, perkara kedua yang boleh dilakukan oleh sektor kewangan adalah  memainkan peranan pemangkin dalam peralihan ke arah ekonomi rendah karbon melalui kawalan terhadap sumber yang memacu ekonomi.

Beliau berkata, BNM juga telah mengukuhkan piawaian yang dijangkakan untuk institusi kewangan dalam menguruskan risiko berkaitan iklim.

“Ia termasuk jangkaan agar institusi kewangan berfungsi dengan baik dan menyokong pelanggan mereka dalam menguruskan peralihan mereka.

“Lebih penting lagi, jika perniagaan komited dan bersedia untuk melakukan perubahan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan operasi mereka, sektor kewangan harus membantu mereka membuat peralihan.

“Ini mungkin dalam bentuk penyelesaian pembiayaan atau perlindungan dan khidmat nasihat yang sesuai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×