‘Lagu sekarang tidak sempurna sifat’ - Utusan Malaysia

‘Lagu sekarang tidak sempurna sifat’

SAARI Amri berharap komposer muda lebih menitikberatkan mesej dalam penghasilan lagu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENTUHANNYA pernah menaikkan nama penyanyi seperti Ella, Shima, Aris Ariwatan, Slam, Ukays dan Ziana Zain.

Lagu seperti Madah Berhelah, Sembilu, Setelah Aku Kau Miliki, Gerimis Mengundang dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu adalah antara sentuhan yang meletakkan Saari Amri dalam senarai komposer terbaik.

Saari memiliki sentuhan emas, malah setiap karyanya pasti popular dan menjadi pilihan untuk dimainkan di corong radio. Begitulah kehebatan sentuhan pemilik nama asal, Saari Jusoh itu.

Pengalaman selama 34 tahun melayakkan anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini untuk memberikan pandangannya tentang industri muzik semasa. Meskipun tidak lagi dihujani publisiti, Saari masih aktif menghasilkan lagu, cuma penerimaan peminat tidak sehebat dulu.

Kata Saari, dia kecewa dengan kualiti lagu sekarang yang pada pendapatnya, kurang ‘menjadi’ berbanding lagu lama.

“Lagu sekarang banyak yang tidak sempurna sifatnya. Sebilangan besar penggiat lebih mengejar perhatian sehingga mengabaikan aspek seni. Itu sebabnya karya mereka sukar bertahan.

“Lebih menyedihkan apabila semua mahu cepat menghasilkan lagu. Kalau (lagu) panjang, radio pula tidak main,” katanya.

Saari juga menasihatkan pengkarya supaya memperbanyakkan mesej dalam lagu yang mereka hasilkan.

Katanya, komposer muda perlu memikirkan cara untuk menghasilkan melodi kreatif yang mampu menangkap jiwa pendengar.

“Kalau buat lagu, biar ada mesej. Itu yang saya terapkan, kita buat lagu cintan-cintun sekalipun, selitkan juga mesej berguna.

“Pendengar suka kalau lirik lagu itu kena dengan cerita dan jalan hidup mereka. Ditambah lagi dengan melodi yang sedap didengar, ia akan memberikan lebih impak.

“Melodi lagu sekarang kebanyakannya terlalu biasa dan banyak pengulangan. Durasi terlalu pendek, membuatkan kita tidak puas dengar,” katanya.

GALAK ANAK PILIH MUZIK

Disoal tentang pewaris legasinya, Saari berkata, dia terharu apabila anaknya, Amri Farizuan memperlihatkan minat dalam bidang muzik.

Katanya dia gembira kerana Amri memilih bidang yang diminati tanpa sebarang paksaan atau dipengaruhi sesiapa.

Sebagai bapa, dia akan memberi galakkan dan semangat kepada Amri untuk terus mendalami bidang tersebut.

“Dia minat muzik dan masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya pernah mahu buat lagu, tetapi dia tolak kerana mempunyai lagu sendiri.

“Dia seorang yang berani dan mempunyai bakat dalam bidang muzik. Perangainya tidak ubah seperti saya. Kalau ada yang kata dia bakal menjadi pelapis saya, insya-Allah,” katanya lagi.

KEJAR SAHAM AKHIRAT

Beralih topik mengenai kehidupannya kini, komposer berusia 56 tahun ini bersyukur kerana berpeluang membantu seorang ibu tunggal yang memerlukan.

Kata Saari, dia terpanggil untuk menghulurkan pertolongan kerana pernah merasai hidup susah.

“Sampai sekarang saya tanggung dan hulurkan wang tiap-tiap bulan kerana dia menyara empat anak. Saya kenal anaknya yang cemerlang dalam dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya beli komputer untuk kegunaan pembelajarannya.

“Saya tolong apa yang termampu kerana kasihan dengan keadaan mereka yang memerlukan. Kalau bukan kita, siapa lagi?” ceritanya.

Kata Saari lagi, pelbagai pengalaman pernah dilaluinya, termasuk ditipu individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di atas kebaikannya.

“Ada yang menipu, minta sumbangan untuk rumah orang tua. Tapi, kerja kotor mereka hanya saya ketahui selepas dua tahun, apabila pihak rumah tersebut menafikan mereka mewakilkan mana-mana individu untuk mengumpul derma.

“Ada juga yang berhutang, bukan sedikit jumlahnya, malah mencecah ratusan ribu. Bila ditagih, macam-macam alasan diberikan.

“Tidak apalah, saya anggap semua itu bukan rezeki saya. Asalkan jiwa saya tenang, bahagia dengan anak-anak, itu sahaja yang saya harapkan,” luahnya.

TAK AMBIL BAHAN TERLARANG

Bukan sekali dua, malah berkali-kali juga Saari berdepan tuduhan menggunakan bahan terlarang. Hanya disebabkan bertubuh kurus, dia difitnah dan dituduh mengambil dadah.

Tuhan sahaja yang tahu perasaan empunya diri yang selama ini lebih banyak berdiam diri berkenaan hal tersebut.

“Saya berkali-kali ditahan (polis) sebab ada yang tuduh saya ambil benda itu, tetapi hasil saringan membuktikan saya ‘bersih’.

“Memang saya bertubuh kurus sejak kecil. Takkan kerana fizikal saya begini, orang nak tuduh macam-macam.

“Biarkan mereka bercakap, yang penting saya tidak terlibat. Saya tidak sembunyikan apa-apa,” tegasnya.

Bercerita lanjut, Saari menegaskan, dia masih waras dan tidak akan menghancurkan kehidupan dengan mengambil bahan terlarang.

“Satu sahaja yang saya fikirkan, keluarga. Ada orang tua dan anak bini yang perlu ditanggung.

“Siapa akan jaga keluarga saya kalau hidup saya hancur? Dadah ini menghancurkan dan ramai artis yang rosak kerananya. “Nasihat saya, jauhilah daripada terjebak. Bertanggungjawablah pada diri dan keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×