PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berkemungkinan sekali lagi akan menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang kepada 8.9 peratus, mengekalkan pencapaian pada suku kedua, menurut Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
Menurut kenyataan, ini kerana KDNK suku ketiga dari segi sebenar adalah bersamaan dengan tahap pra-pandemik iaitu RM361.1 bilion, seperti yang dilihat tiga tahun lalu.
Ujarnya, ia adalah konservatif andaian sebagai nilai KDNK suku kedua 2022 dalam terma sebenar adalah 4.7 peratus lebih tinggi daripada KDNK suku sama pada 2019 sebanyak RM349.9 bilion.
“Ini telah menghasilkan konsensus anggaran median yang lebih tinggi bagi ekonomi Malaysia, yang telah meningkat sebanyak 0.8 peratus mata kepada 6.5 peratus berbanding 5.7 peratus sebelumnya dan kini lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan berpandu Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 5.3 hingga 6.3 peratus, manakala nilai ramalan purata kini pada 6.46 peratus.
“Pertumbuhan pesat KDNK suku kedua tahun ini juga sudah pasti melegakan negara yang berjuang menentang lonjakan harga komoditi melalui peningkatan subsidi manakala pembukaan ekonomi menyaksikan sektor pembuatan dan perkhidmatan mencatatkan momentum kukuh dengan pertumbuhan 12 dan 9.2 peratus tahun ke tahun,” katanya.
MICPA berkata, Data ekonomi Malaysia menunjukkan peningkatan bukan sahaja daripada luaran tetapi juga di dalam negeri.
“Untuk tujuh bulan pertama 2022, jumlah eksport Malaysia meningkat sebanyak 27.8 peratus kepada RM873.1 bilion manakala import melonjak 32.5 peratus kepada RM734.5 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM138.6 bilion, meningkat sederhana 7.4 peratus tahun ke tahun.
“Kadar pengangguran juga telah menurun kepada hanya 3.7 peratus pada Julai lalu,” ujarnya.
Tambah kenyataan, walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dijangka sehingga pertengahan 2023, terdapat kemungkinan besar Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi selepas pembentangan Bajet 2023.
“Bajet 2023 juga diharapkan menjadi mesra manusia dan perniagaan jadi berkemungkinan tidak mempunyai sebarang cukai baharu, manakala kenaikan kadar cukai juga berkemungkinan berlaku pra-matang sebagaimana yang diperlukan oleh kerajaan memenangi hati dan fikiran rakyat untuk memenangi pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










